Perubahan Iklim dan Pemanasan Global

PERUBAHAN IKLIM DAN PEMANASAN GLOBAL


{tocify} $title={Senarai Kandungan}


Sejak kejadian kepala air di Gunung Jerai sehinggalah kejadian banjir yang dahsyat berlaku di Selangor dan Pantai Timur sekarang, kesedaran di kalangan rakyat Malaysia semakin meningkat untuk mengetahui apakah benar kedua-dua kejadian ini dikaitkan dengan perubahan iklim dan pemanasan global.


Apakah itu perubahan iklim?


Perubahan iklim merujuk kepada perubahan iklim yang signifikan untuk suatu jangkamasa yang panjang seperti dalam suatu dekad atau lebih bagi sesuatu zon atau secara global. Ia berlaku sama ada secara semulajadi ataupun oleh aktiviti manusia.


Apabila membicarakan tentang perubahan iklim kita seringkali mendengar ungkapan “kesan rumah hijau”, apakah yang dimaksudkan dengan kesan rumah hijau?


Jika kita boleh bayangkan yang bumi kita adalah bulat seperti sebiji bola. Di sekeliling bumi adalah selapis atmosfera di mana terdapat udara yang kita hirup untuk bernafas dan partikel lain yang berterbangan di udara. 


Di luar atmosfera pula terdapat satu lapisan semacam “selimut” yang membungkus atmosfera dan bumi. Selimut inilah yang kita sebut sebagai rumah hijau. 


Kandungan rumah hijau ini terdiri terutamanya gas-gas karbon dioksida (CO2), metana (CH4), nitrus oksida (N2O) dan lain-lain. Jangkahayat gas methane tidak kekal lama tetapi karbon dioksida dan nitrus oksida akan berada di rumah hijau selamanya.


Kesan rumah hijau bermaksud kesan-kesan yang disebabkan pertambahan kandungan gas-gas rumah hijau (karbon dioksida dan nitrus oksida khususnya) terhadap radiasi pancaran cahaya matahari ke permukaan bumi serta implikasinya terhadap perubahan suhu di permukaan bumi.


Apa pula yang dimaksudkan dengan pemanasan global?


Apabila matahari memancarkan cahayanya ke bumi, sebahagian cahaya yang diubah menjadi radiasi tenaga iaitu kepanasan akan dipantulkan atau dibalikkan oleh rumah hijau kembali ke angkasa. 


Jika tanpa lapisan rumah hijau sudah tentu bumi akan terbakar dek kepanasan matahari. Jadi rumah hijau juga berfungsi sebagai penangkis terhadap cahaya matahari,


Sebahagian cahaya matahari menerjah bumi di setiap pelusuk ke daratan, lautan, lapisan ais di kutub utara dan selatan.


Terdapat perbezaan serapan cahaya matahari (yang diubah menjadi tenaga) terhadap permukaan daratan, lautan dan lapisan ais di kutub.


Sebahagian daripada cahaya matahari diserap oleh bumi dan sebahagiannya pula dipantulkan kembali ke angkasa dengan melepasi rumah hijau dalam bentuk gelombang infrared.


Namun sebahagian daripada gelombang infrared ini “tersekat” di rumah hijau dan ada yang dipantulkan kembali ke bumi lalu menyebabkan pertambahan suhu di bahagian yang dekat dengan permukaan bumi. 


Inilah yang menyebabkan pemanasan global secara semula jadi. Namun pemanasan global juga disebabkan oleh aktiviti manusia terutamanya pelepasan gas karbon dioksida dan nitrus oksida.


Pelepasan karbon dioksida terutama dari asap industri melalui pembakaran arang batu, minyak dan gas asli, penggunaan kenderaan dan motorsikal, pembakaran hutan, letusan gunung berapi dan lain-lain. 


Ini menyebabkan kandungan karbon dioksida semakin bertambah dan ketumpatan yang tinggi di rumah hijau. Sebab itulah sebahagian gelombang infrared tidak berupaya untuk melepasi rumah hijau untuk ke angkasa. 


Sebaliknya dipantulkan ke bumi yang menyebabkan pemanasan atmosfera terutamanya yang hampir dengan permukaan bumi.


Apakah implikasi terhadap pencaran cahaya matahari terhadap permukaan ais di kutub?


Di kawasan kutub cahaya matahari tidak menerjah secara menegak tetapi berkeadaan condong. Sebahagian besar cahaya iaitu antara 50% - 70% dipantulkan kembali ke atmosfera dan ia berupaya membantu proses penyejukan yakni mengurangkan pemanasan global.


Namun demikian disebabkan pemanasan global maka proses pencairan ais di kutub semakin cepat. Ia mengurangkan keluasan permukaan ais maka kuranglah pantulan udara sejuk di udara. 


Pencairan ais lebih ketara di kutub utara berbanding kutub selatan disebabkan aktiviti pelepasan karbon dioksida lebih tertumpu di hemisfera utara.


Dengan pencairan ais di kutub menjadi air laut maka ia akan meningkatkan ketinggian air laut. Kajian menunjukkan di antara tahun 1993 – 2020 kenaikan purata paras air laut ialah 3.3 +- 0.3 mm setiap tahun. Sebab itulah banyak kawasan yang rendah berisiko ditenggelami air dalam masa 50 tahun akan datang. 


Dengan pemanasan global, cahaya matahari yang memancarkan cahaya ke permukaan laut berpotensi menerbitkan ribut taufan tropika yang lebih kerap.


Apabila permukaan lautan luas yang panas mencapai 26 darjah Celcius maka air laut akan terpelowap dan naik ke udara. Dengan itu terjadilah satu tekanan rendah dan angin di sekitarnya akan menerjah masuk.


Keadaan ini akan terjadilah ribut taufan tropika. Untuk mengetahui lebih lanjut tentang kejadian ribut taufan tropika, silakan klik artikel khas yang membincangkan tajuk ini.


https://m.facebook.com/story.php?story_fbid=4646144652121253&id=100001772934965


Apakah tindakan untuk mengurangkan gas rumah hijau?


Kini 80% daripada sumber tenaga diperolehi daripada sumber fosil iaitu arang batu, minyak dan gas asli. Maka salah satu cara pengurangan pergantungan terhadap sumber fosil ialah dengan memperbanyakan penggunaan tenaga yang diperbaharui.


Tenaga yang diperbaharui ialah tenaga yang bersumber kepada alam sekitar seperti penggunaan tenaga letrik dari kincir angin, ombak, solar dan hydro. Kini penggunaan panel solar dan kincir angin telah digunakan secara meluas.


Bagi penggunaan kenderaan pula akan lebih berinovasi dengan injin hybrid kuasa letrik bagi mengurangkan pelepasan karbon dioksida. 


Kita mengetahui bahawa “kilang oksigen” ialah dari pokok-pokok yang menyerap karbon dioksida dan melalui proses sistesis mengeluarkan oksigen untuk keperluan manusia dan haiwan. Jadi proses menghijaukan alam dengan menanam pokok-pokok adalah satu keperluan bagi menyelamatkan bumi.


Kini kilang oksigen terbesar di dunia ialah hutan hujan tropika di Brazil. Dengan penebangan hutan-hutan untuk pembalakan dan pembakaran hutan bagi pembukaan lading-ladang seperti yang berlaku di Indonesia telah menyebabkan pertambahan kandugan karbon dioksida.


Mengikut laporan PBB di tahun 2018, ribuan para saintis dan penilai dari kerajaan-kerajaan telah bersetuju untuk menghadkan kenaikan suhu global tidak melebihi 1.5 darjah Celcius untuk mengelakkan impak iklim yang lebih ektreme dan mengekalkan iklim yang sesuaiuntuk diduduki.


Namun berdasarkan situasi sekarang dijangka pemanasan global akan mencapai 2.7 darjah Celcius sehingga akhir abad ini. Berdasarkan rekod dari tahun 2011 – 2020 purata suhu dunia meningkat 1.1 darjah Celcius berbanding semasa pra-revolusi industri.


Panel Antara Kerajaan mengenai Perubahan Iklim (IPCC) menjangkakan kesan perubahan iklim yang lebih drastik dengan bencana alam yang lebih dahsyat akan berlaku lebih kerap dan kemungkin berlakunya perubahan cuaca yang lebih skstrim.


Di Malaysia, purata suhu tahunan di tahun 1981 – 2010 ialah 26.97 darjah Celcius. Dalam tahun 2019 pula meningkat ke 27.63 darjah Celcius. Terdapat penurunan purata suhu tahun di tahun 2020 iaitu 27.52 darjah Celcius. Namun ia telah mengatasi suhu pada dekad sebelumnya. Bermakna memang wujud pemanasan suhu dari satu dekad ke satu dekad.


Ditulis oleh:

Megat Mohd Hisemudin 

30/12/2021

Penulis artikel ini adalah seorang jurutera awam yang kini terjun ke bidang pendidikan sebagai Pengarang Matematik silibus KSSM. 

Sila layari

www.cikgumatematik.com.my



Sumber :

https://m.facebook.com/story.php?story_fbid=4686088111460240&id=100001772934965


Post a Comment

Previous Post Next Post