Apakah Maksud Jawatan Hakiki dan KUP?

Apakah Maksud Jawatan Hakiki dan Khas Untuk Penyandang (KUP)?



Jawatan KUP ialah jawatan yang diwujudkan bagi mengekalkan atau menyesuaikan gred hakiki penyandang apabila berlaku perbezaan dengan hakiki jawatan yang disandarkan. Jawatan yang diwujudkan itu adalah secara KUP dan akan dimansuhkan sebaik sahaja penyandang meninggalkan jawatan tersebut. Situasi/keadaan yang membolehkan jawatan KUP ini dipohon ialah:
  • atas sebab-sebab kepentingan perkhidmatan iaitu:
  • penyandang jawatan tersebut dinaikkan pangkat sedangkan jawatannya tidak dinaik taraf; atau
  • jawatan yang disandang oleh pegawai berkenaan dinaikkan atau diturunkan tarafnya.
  • untuk menampung pegawai-pegawai yang mengisi jawatan-jawatan dalam perkhidmatan jumud; atau
  • berikutan dengan perubahan dalam dasar perkhidmatan Kerajaan hasil dari penguatkuasaan Surat Edaran JPA Bilangan 12 Tahun 2009-Pelaksanaan Kenaikan Pangkat Pegawai Kumpulan Sokongan Yang Telah Berkhidmat 15 Tahun dan Lebih Dalam Skim Perkhidmatan dan Perkhidmatan Semasa.

Walaupun sedang menjawat jawatan Khas Untuk Penyandang (KUP) namun masih ramai yang tidak memahami apakah sebenarnya jawatan tersebut dan apakah perbezaan dengan jawatan hakiki.

Bagi menjelaskan pengertian KUP ini saya mengibaratkan jawatan hakiki sebagai kerusi dan penjawat jawatan tersebut adalah seseorang yang dilantik secara hakiki selaras dengan gred kerusi tersebut.

Contohnyakerusi DG34 seperti guru besar sekolah gred B dijawat oleh pegawai DG34 dan ia adalah jawatan hakiki yang dijawat oleh penjawat hakiki. Jika guru besar tadi telah tamat pengajian peringkat ijazah dan dilantik ke jawatan DG41, maka sekiranya beliau masih kekal di jawatannya tadi maka ia dinamakan sebagai DG41(KUP).

Ini kerana kerusi jawatan guru besar yang disandangnya adalah khusus untuk DG34 tetapi beliau masih menduduki kerusi tersebut walaupun gred jawatannya kini adalah DG41.Begitu juga jawatan kenaikan pangkat time-based seperti DG32 dan DG44 bagi mereka yang telah layak berdasarkan syarat-syarat yang ditetapkan seperti guru-guru penolong biasa.

Apabila seseorang guru dinaikkan pangkat secara time-based, maka mereka tidak dilantik sebagai pentadbir seperti guru penolong kanan atau guru besar sebaliknya tetap menjalankan tugas guru biasa. Ini bermakna kerusi yang mereka duduki adalah kerusi yang sepatutnya untuk gred DG29/41 tetapi mereka mendudukinya kerana kenaikkan pangkat mereka adalah berdasarkan time-based.

Kesimpulannya jawatan KUP adalah apabila seseorang yang bergred jawatan lebih tinggi menduduki jawatan yang sepatutnya disandang oleh penjawat hakiki yang grednya lebih rendah. Ia adalah keadaan di mana seseorang penjawat awam dapat menikmati kenaikkan gred tanpa meninggalkan jawatan asal.


Post a Comment

Previous Post Next Post