KPM utamakan guru dan murid, sangkal dakwaan YTL

KEMENTERIAN PENDIDIKAN MALAYSIA MENYANGKAL DAKWAAN YTL COMMUNICATIONS, MENEGASKAN UTAMAKAN KEPENTINGAN GURU DAN MURID 


Kementerian Pendidikan Malaysia (KPM) hari ini menegaskan bahawa dakwaan yang dibuat oleh syarikat YTL Communications Sdn. Bhd (YTLC) bertarikh 3 Julai 2019 lalu adalah tidak berasas dan tidak adil kepada KPM.

Kementerian amat memandang serius akan dakwaan yang dibuat syarikat berkenaan bahawa KPM telah melanggar obligasi kontrak dan tidak bertindak dengan niat baik.

"Ia merupakan satu tuduhan yang tidak adil ke atas Kementerian dan Kerajaan," kata YBhg. Dato’ Dr Mohd Gazali Abas, Ketua Setiausaha KPM.

Pada sidang media yang diadakan di KPM, Putrajaya sebentar tadi, beliau menegaskan KPM menyangkal setiap dakwaan yang dibuat berkaitan KPM telah melanggar kewajipan kontrak dan meminggirkan syarikat tersebut.

“ Dalam perkara ini, Kementerian tidak pernah meminggirkan atau akan meminggirkan mana-mana syarikat telekomunikasi yang layak termasuk YTLC dalam proses tender KPM.

"YTLC masih boleh mengambil bahagian dalam proses tender untuk perkhidmatan talian internet ke sekolah melibatkan tempoh mulai 1 Januari 2020 dan seterusnya apabila proses tender secara terbuka dikeluarkan kelak," kata beliau lagi.

Malah katanya, segala tindakan yang diambil dalam aspek yang berkaitan dengan 1BestariNet adalah demi kepentingan guru, murid dan sekolah dalam menyediakan sistem pengajaran dan pembelajaran yang berkualiti dan terbaik, dan demi mengoptimumkan sumber kewangan negara.

Justeru itu, dakwaan bahawa KPM telah berlaku tidak adil kepada YTLC dan telah menamatkan kontrak syarikat itu adalah tidak benar sama sekali.

Beliau juga menegaskan bahawa KPM tidak melanggar kontrak dengan YLTC. Kontrak perkhidmatan YTLC iaitu 1BestariNet telah tamat (expired) pada 30 Jun 2019 dan bukannya ditamatkan oleh KPM.

"YTLC telah diberi kontrak 1BestariNet Fasa 1 bagi tempoh bermula 13 Disember 2011 hingga 30 Jun 2016 (ini termasuklah lanjutan kontrak sebanyak tujuh kali). Selanjutnya YTLC telah diberi kontrak 1BestariNet Fasa 2 untuk tempoh mulai 1 Julai 2016 hingga 30 Jun 2019," ujarnya lagi.

Bagi menyediakan perkhidmatan sepanjang tempoh enam bulan iaitu mulai 1 Julai 2019 hingga 31 Disember 2019, KPM telah memanggil syarikat-syarikat telekomunikasi utama di Malaysia, termasuk YTLC sendiri, untuk diberi penerangan mengenai perkhidmatan yang diperlukan oleh KPM bagi satu tempoh selama enam bulan, yang merupakan tempoh sementara sebelum tender baharu dibuka.

"Ada syarikat yang memberi respons dan ada yang tidak. Susulan itu, KPM telah melantik tiga syarikat iaitu TM One, Maxis dan Celcom Axiata yang telah mengemukakan tawaran berdasarkan liputan terbaik oleh syarikat telekomunikasi itu sendiri," katanya.

KPM ingin memberi jaminan untuk terus komited menyediakan persekitaran pembelajaran atas talian yang baik demi kepentingan para guru dan murid.

Turut hadir, YBhg. Dato’ Azizan Mohamad Sidin, Timbalan Ketua Setiausaha (Pembangunan); YBhg. Dato’ Kamel Mohamad, Timbalan Ketua Setiausaha (Perancangan Strategik), YBrs En Mohamad Azhan Md Amir, Timbalan Ketua Setiausaha (Pengurusan)' YBrs Dr Habibah Abdul Rahim, Timbalan Ketua Pengarah Pelajaran Malaysia (Dasar dan Pembangunan Pendidikan), kepimpinan NUTP serta pegawai-pegawai kanan KPM.

Post a Comment

Previous Post Next Post