MAJLIS PEMETERAIAN KOLABORASI ANTARA ACCA DAN KEMENTERIAN PENDIDIKAN MALAYSIA BAGI PROGRAM JURUSAN PERAKAUNAN PROFESIONAL
YBhg. Dato' Dr. Mohd Gazali Abas, Ketua Setiausaha Kementerian Pendidikan Malaysia (KPM) hari ini hadir ke Majlis Pemeteraian Kolaborasi Antara ACCA Malaysia dan KPM bagi Program Jurusan Perakaunan Profesional (JPPro) yang berlangsung di Kuala Lumpur.
Penawaran JPPro adalah selaras dengan misi Program Matrikulasi KPM iaitu membangunkan potensi pelajar Bumiputera dalam bidang sains, teknologi dan profesional melalui pendidikan prauniversiti yang berkualiti untuk melahirkan modal insan cemerlang.
Misi ini selaras dengan Anjakan 1 dalam Pelan Pembangunan Pendidikan Malaysia 2013-2025 iaitu menyediakan kesamarataan akses kepada pendidikan berkualiti bertaraf antarabangsa.
Beliau yang membaca ucapan Menteri Pendidikan, YB Dr. Maszlee Malik berkata, peranan akauntan pada abad ke-21 ini menjangkau daripada yang lazimnya iaitu akauntan perlu mempunyai set kemahiran yang lebih kompleks.
Oleh itu, anak-anak perlu menjadi pemikir yang kritis dalam melaksanakan pertimbangan secara profesional, memiliki kemahiran yang analitis sebagai tambahan kepada pengetahuan perakaunan sedia ada dan mematuhi nilai dan etika profesionalisme sebagai seorang akauntan profesional kelak.
"Inilah antara cabaran kepada KPM, institusi pendidikan tinggi (IPT) dan ACCA dalam menyampaikan pendidikan yang lebih berkualiti kepada setiap pelajar kita agar mereka lebih bersiap siaga dan kompetitif dalam era globalisasi kini. Hasrat ini adalah selari dengan harapan Kerajaan untuk menyediakan akses kepada pendidikan yang lebih berkualiti khususnya kepada kumpulan B40," kata beliau.
Turut hadir, YBhg. Datuk Dr. Amin Senin, Ketua Pengarah Pendidikan Malaysia; YBhg. Dato' Kamel Mohamad, Timbalan Ketua Setiausaha (Perancangan Strategik) dan YBrs Encik Robert Stenhouse, Presiden ACCA.
Tags:
Berita