Mati dalam perkhidmatan akibat kemalangan atau bencana

SOAL JAWAB HAL EHWAL PENCEN
TAJUK: PENJAWAT AWAM ATAU KAKITANGAN KERAJAAN YANG MATI DALAM PERKHIDMATAN AKIBAT KEMALANGAN ATAU BENCANA KERJA


Contoh Kes:

Soalan:

Encik Kalabul Malami, seorang anggota Penguatkuasa yang berkhidmat di Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Hal Ehwal Pengguna (KPDNHEP) telah meninggal dunia dalam satu kejadian kemalangan jalanraya sewaktu beliau dalam perjalanan pulang dari pejabat ke rumahnya.

Motorsikal yang ditungganginya telah dilanggar sebuah kereta yang terbabas dari arah bertentangan akibat kerosakan tayarnya. Gemulah telah berkahwin dan mempunyai seorang anak berumur 7 tahun. Ibu gemulah juga masih hidup dan kini tinggal di Kampongnya di Jitra, Kedah. Gaji pokok gemulah ialah sebanyak RM2500 sebulan.

Apakah jenis faedah terbitan yang layak ke atas warisnya? Adakah tanggungannya layak menerima pencen tanggungan juga?

Mohon pencerahan Aban Admin.. 😊



Jawapan:

Terima kasih kerana menghubungi Aban Admin.

Bagi kes yang diberikan di atas, memandangkan gemulah terlibat dalam kemalangan dalam perjalanan pulang dari pejabatnya, bukan disebabkan kecuaiannya, maka warisnya layak menerima semua jenis faedah terbitan dan juga tambahan seperti berikut:

1) Bantuan mengurus jenazah sebanyak RM3,000 (dibayar oleh KPDNHEP kepada balunya);

2) Ganjaran terbitan:

Cara kiraan:

7.5% x tempoh bulan perkhidmatan x gaji pokok

Pembahagian bayaran:

👉 90% dibayar kepada balu dan anaknya

👉 10% dibayar kepada ibu gemulah

3) Award Wang Tunai Gantian Cuti Rehat (GCR)

Cara kiraan:

1/30 x GCR yang terkumpul x gaji pokok + imbuhan tetap

Pembahagian bayaran:

👉 90% dibayar kepada balu dan anaknya

👉 10% dibayar kepada ibu gemulah

4) Pencen terbitan (bulanan)

Cara kiraan:

1/600 x bulan perkhidmatan x gaji pokok

Pembahagian syer:

👉 2/3 milik balu [sepanjang hayat]

👉 1/3 milik anaknya
[sehingga anaknya berumur 21 tahun atau sehingga berkahwin (mana berlaku terlebih dahulu) atau sehingga tamat pengajian di peringkat ijazah sarjana muda (1st degree) di mana-mana IPTA/IPTS]

5) Pencen Tanggungan:

APA ITU PENCEN TANGGUNGAN?

Pemberian tambahan kepada pembayaran pencen terbitan (bulanan) yang dibayar kepada orang tanggungan bagi kes anggota yang mati dalam perkhidmatan kerana :

i) Kemalangan dalam perjalanan (jika bukan disebabkan kecuaian gemulah); atau

ii) Ditimpa bencana atau disebabkan oleh penyakit yang berpunca dari tugas rasminya; atau

iii) Mati dalam tempoh tujuh (7) tahun dari tarikh ia menanggung bencana disebabkan oleh penyakit yang berpunca dari tugas rasminya (Gemulah dibersarakan Atas Sebab Kesihatan tetapi tidak memohon untuk Pencen Hilang upaya).

Waris yang layak menerima Pencen Tanggungan:

• Balu (dihentikan jika berkahwin baharu).

• Duda (yang cacat otak atau hilang upaya jasmani secara kekal dan tiada upaya menanggung diri sendiri).

• Anak (terhad kepada 6 orang yang teratas).

• Ibu/bapa (samada ibu/bapa bergantung sepenuhnya atau sebahagian besarnya nafkah daripada gemulah).

Cara Kiraan dan Pembahagian:

1/6 x gaji pokok = dibayar kepada balu

1/48 x gaji pokok = dibayar kepada anak

1/12 x gaji pokok = dibayar kepada ibu

6) Ex-Gratia Waris [EXW] (untuk pegawai lantikan persekutuan sahaja)

Pembahagian EXW:

a) Waris akan dibayar EXW mengikut pecahan berikut:

i. Balu/duda - 3/5; dan

ii. Anak - 2/5 atau 3/5 jika tiada balu/duda; atau

iii. Ibu bapa - 2/5 jika tiada balu/duda dan anak.

b) Bagi setiap kategori waris, pembahagian dibuat sama rata sekiranya terdapat lebih daripada seorang yang layak menerima bayaran. Sekiranya salah seorang waris hilang kelayakan, faedah yang diterima tidak akan diselaraskan.

Begitulah faedah-faedah terbitan yang bakal diberikan kepada waris/tanggungan kepada Encik Kalabul Malami ini.

Semua penjelasan ini dapat menjawab persoalan yang telah diutarakan.

Sekian dimaklumkan, terima kasih.





Sumber:
https://m.facebook.com/story.php?story_fbid=2342501279172585&id=204379469651454

Post a Comment

Previous Post Next Post