Pengenalan Bendera Malaysia : Jalur Gemilang

Pengenalan Bendera Malaysia : Jalur Gemilang




Bendera adalah lambang kedaulatan sesebuah negara yang berkait rapat dengan semangat patriotik dalam mempertahankan maruah, bangsa, agama dan ibu pertiwi.

Bendera juga merupakan lambang kepimpinan, simbol penghormatan, martabat dan kewarganegaraan bagi sesebuah negara. Oleh itu, penggunaan bendera dan penghormatan ke atasnya adalah sebagai satu simbol nasionalisme.

Semua negara di dunia mempunyai bendera iaitu sebidang kain yang diperagakan bagi menunjukkan tanda atau lambang kewujudan sesebuah negara. Biasanya bendera berbentuk empat segi bujur dan mempunyai satu bahagian tepi yang digunakan untuk diikat pada tiang.

Maksud asas bendera adalah mengibarkan atau mengapungkan di atas angin.


Bendera Persekutuan Tanah Melayu telah dinaikkan dan berkibar secara rasmi pada 31 Ogos 1957 di Padang Kelab Selangor seiring dengan berkumandangnya Lagu Negaraku yang buat pertama kali juga diperdengarkan kepada umum.

Bendera Malaysia pula yang berkibar pada 16 September 1963 dan mempunyai penambahan 14 jalur dengan penyertaan Sabah, Sarawak dan Singapura di dalam Malaysia. Berpisahnya Singapura dari Malaysia pada tahun 1965 tidak mengubah jumlah 14 jalurnya kerana jalur tersebut diwakili oleh 13 buah negeri dan Kerajaan Persekutuan.

Pada malam 31 Ogos 1997, Tun Dr. Mahathir Mohamad, Perdana Menteri ketika itu telah mengumumkan nama bagi Bendera Malaysia sebagai Jalur Gemilang di Dataran Merdeka, Kuala Lumpur.

Post a Comment

Previous Post Next Post