Ringkasan Tugas Perkhidmatan Pentadbiran dan Sokongan (N)

Senarai Ringkasan Tugas Perkhidmatan Pentadbiran dan Sokongan di dalam Skim Perkhidmatan Gred N



1.    Pembantu Pentadbir Tanah/ Penolong Pentadbir Tanah (Pemakaian di Sabah/Sarawak)

    Bertanggungjawab menjalankan tugas-tugas pentadbiran tanah di peringkat kumpulan pelaksana berhubung urusan permohonan tanah, penyiasatan tanah, urus niaga tanah, hasil tanah, penguatkuasaan tanah dan tugas-tugas lain yang berkaitan dengan tanah yang ditentukan dari semasa ke semasa.

2.    Pembantu Setiausaha Pejabat/Setiausaha Pejabat

    Bertanggungjawab untuk memastikan urusan harian di pejabat Hakim Mahkamah Atasan/ pegawai Kumpulan Pengurusan Tertinggi/ pegawai Kumpulan Pengurusan dan Profesional (yang memenuhi kelayakan) berjalan lancar dan memberi perkhidmatan kesetiausahaan seperti menaip, menyediakan surat-menyurat, laporan dan pengurusan fail. Di samping itu, memastikan semua keperluan rasmi Hakim Mahkamah Atasan/ pegawai Kumpulan Pengurusan Tertinggi/ pegawai Kumpulan Pengurusan dan Profesional (yang memenuhi kelayakan) dikendalikan secara cekap dan berkualiti tinggi serta mengawal selia jadual kerja supaya teratur.

3.    Penolong Pengurus Asrama

    Bertanggungjawab mengurus pelajar dan kolej kediaman dengan kerjasama Pengetua dan Pengurus Asrama dalam melancarkan pentadbiran kolej yang berkaitan dengan pelajar, fasiliti dan kemudahan-kemudahan asas yang lain.

4.    Penolong Pegawai Tanah (Pemakaian di Semenanjung sahaja)

    Bertanggungjawab menjalankan tugas-tugas pengurusan tanah di peringkat Kumpulan Pelaksana berhubung urusan pentadbiran tanah yang meliputi aspek-aspek pendaftaran tanah, pelupusan tanah, hasil tanah, pembangunan tanah (pengambilan balik tanah, pesaka kecil, ukur tanah, penguatkuasaan tanah dan tugas-tugas lain yang berkaitan dengan tanah yang ditentukan dari semasa ke semasa).

5.    Penolong Pegawai Tadbir

    Bertanggungjawab menguruskan kerja-kerja yang berkaitan pengurusan kewangan, perolehan bekalan dan pembangunan, pengurusan, perkhidmatan personel, pengurusan pentadbiran pejabat, pengurusan majlis rasmi, mengendalikan urusan konsuler dan penguatkuasaan undang-undang.

6.    Penolong Pegawai Penyelidik Sosial

    Bertanggungjawab membantu dalam melaksanakan aktiviti penyelidikan, tugas operasi berkaitan pemasaran sosial seperti pengiklanan bagi tujuan pendidikan dan keselamatan jalan raya, penerbitan dan penyebaran ilmu serta menyediakan khidmat profesional dan masyarakat.

7.    Penolong Pegawai Penerbitan

    Bertanggungjawab membantu dalam melaksanakan aktiviti-aktiviti perancangan dan penerbitan, penyuntingan laman web (Bahasa Malaysia dan Bahasa Inggeris), percetakan serta keperluan pembangunan dan latihan staf.

8.    Penghulu

    Bertanggungjawab menjalankan tugas sebagai Pegawai Perantaraan untuk menyebar maklumat pentadbiran negeri, dasar-dasar kerajaan dan menganjur pembangunan masyarakat di peringkat mukim. Memberi fokus pada aspek pembangunan, pentadbiran, keagamaan dan kebudayaan di peringkat mukim.

9.    Bentara Mesyuarat

    Bertanggungjawab kepada Yang DiPertua Dewan Negara, Setiausaha Dewan Negara (SUDN), Setiausaha Dewan Rakyat (SUDR) dan Ketua Penolong Setiausaha Pengurusan Dewan (KPSU PD).

10.    Pembantu Tadbir (Perkeranian/ Operasi)

    Bertanggungjawab melaksanakan tugas-tugas perkeranian dan operasi di peringkat Kumpulan Pelaksana yang merangkumi aspek perkeranian dan operasi (termasuk, tetapi tidak terhad kepada, tugas-tugas pentadbiran am, pengurusan personel, perkhidmatan kaunter dan pemprosesan, pengumpulan data dan maklumat, pengendalian peralatan perhubungan/komunikasi).

11.    Pemeriksa Cap Jari

    Bertanggungjawab mendaftar penjenayah dan orang-orang yang bersalah, membuat pemeriksaan identiti penjenayah melalui pemeriksaan cap jari, mengesahkan identiti penjenayah/si mati/individu. Membantu menyelesaikan kes-kes jenayah dengan mengenal pasti identiti cap-cap jari dari tempat kejadian. Mengeluarkan laporan penjenayah terdahulu untuk mahkamah, mengeluarkan laporan pakar cap jari dan memberi keterangan pakar di mahkamah. Memberi kursus Sains Cap Jari kepada Agensi Penguatkuasa Undang-undang, jabatan kerajaan dan pusat pengajian tinggi.

12.    Pegawai Khidmat Pelanggan

    Bertanggungjawab melaksanakan tugas-tugas berkaitan khidmat telefon, khidmat penerangan dan khidmat perhubungan pelanggan di peringkat agensi berkaitan seperti mengendalikan panggilan telefon (peringkat dalaman dan luaran), melayani dan membantu pelanggan yang berurusan dengan agensi dan memberi penerangan mengenai perkhidmatan yang disediakan oleh agensi.

13.    Pembantu Penerbitan

    Bertanggungjawab membantu dalam tugas-tugas penerbitan, penyuntingan laman web (Bahasa Malaysia dan Bahasa Inggeris), percetakan keperluan pembangunan dan latihan staf.

14.    Pembantu Penyelidik Sosial

    Bertanggungjawab membantu melaksanakan aktiviti penyelidikan, tugas operasi berkaitan pemasaran sosial seperti pengiklanan bagi tujuan pendidikan dan keselamatan jalan raya, penerbitan dan penyebaran ilmu, khidmat profesional dan masyarakat.

15.    Penyelia Asrama

    Bertanggungjawab membantu menguruskan tugas-tugas domestik, penginapan dan kelengkapan asrama serta sajian makanan. Memastikan kelengkapan asrama dan dewan makan berada dalam keadaan baik, menyelia dapur dan dewan makan, membuat uji rasa makanan serta menyelia pekerja, peralatan dapur dan asrama. Bertanggungjawab ke atas pentadbiran dan pengurusan asrama untuk memastikan peraturan asrama dipatuhi. Turut bertanggungjawab menyediakan serta memastikan tempat tinggal penghuni asrama berada dalam keadaan selamat, bersih dan kemas serta merancang anggaran keperluan kewangan dan mengawal perbelanjaan.

16.    Pembantu Pengurusan Murid

    Bertanggungjawab menjalankan tugas-tugas membantu guru di kelas-kelas prasekolah, mengasuh murid-murid di asrama sekolah pendidikan khas dan asrama desa di bawah kelolaan Kementerian Pelajaran Malaysia.

17.    Juruaudio Visual

    Bertanggungjawab mengendalikan pemasangan alat audio visual, memberi khidmat kemudahan alat siar raya dan peralatan audio visual, menjalankan kerja pos produksi (post production) dan salinan koleksi bahan media, menjalankan kerja penyediaan bahan pameran serta menyelenggara peralatan alat audio visual.

18.    Operator Wayarles

    Bertanggungjawab melaksanakan tugas-tugas pengendalian rangkaian komunikasi melalui alat perhubungan High Frequency Radio (HF), Very High Frequency Radio (VHF), Radio Global Distress and Maritime Safety System (GDMSS) berdasarkan piawai ‘International Maritime Organisation’ (IMO) serta alatan peralatan komunikasi elektronik yang berkaitan. Turut berperanan sebagai pusat pengumpulan serta penyebaran maklumat kepada Bahagian Keselamatan Negara (BKN) di JPM, Jabatan Laut, Unit Udara Polis di PDRM, Pasukan Bomba dan Penyelamat, Tentera Udara Diraja Malaysia (TUDM), Tentera Laut Diraja Malaysia (TLDM), Agensi Penguatkuasaan Maritim Malaysia (APMM), Jabatan Imigresen Malaysia (Imigresen), Jabatan Kastam Diraja Malaysia (Kastam), Kementerian Kesihatan, Jabatan Alam Sekitar (JAS), Pihak Berkuasa Tempatan, orang awam dan pihak media.

19.    Pembantu Penyediaan Makanan
-

20.    Bentara Parlimen

    Bertanggungjawab dalam memberi perkhidmatan kepada Ahli Parlimen semasa dewan bersidang, mengedar surat, risalah dan nota-nota serta memantau keselamatan dan disiplin Ahli Parlimen dan pelawat-pelawat di dalam dewan serta membantu mengatur buku-buku/ risalah-risalah dan Aturan Urusan Mesyuarat (Order Paper) sebelum persidangan dewan bermula. Turut membantu mengendalikan persidangan-persidangan antarabangsa serta mesyuarat-mesyuarat jawatankuasa dewan dan menjalankan tugas-tugas menyambut para tetamu yang datang ke Parlimen Malaysia terdiri daripada para tetamu kerajaan, para pembesar negara asing, delegasi luar dan dalam negara, badan-badan bukan kerajaan (NGO), para pelajar dan orang awam.

21.    Penghantar Notis

    Bertanggungjawab menjalankan tugas-tugas penghantaran notis dan dokumen berkaitan kepada semua pihak yang berurusan dengan organisasi.

22.    Pembantu Operasi

    (a) Melaksanakan tugas-tugas dalam membantu melicinkan perjalanan urusan pejabat seharian melibatkan pergerakan fail, penghantaran dan pendaftaran surat/dokumen/saman/notis serta pemanduan kenderaan


    (b) Memandu dan menyenggara kenderaan yang diliputi oleh lesen memandu Kelas B2/B/D/E2/E1/E.


    (c) Bertanggungjawab melaksanakan tugas-tugas operasi am bersifat hands-on yang memerlukan keupayaan fizikal di dalam pejabat/jeti [Lembaga Kemajuan Ikan Malaysia (LKIM)].

23.    Pegawai Penyelidik Sosial

    Bertanggungjawab dalam melaksanakan aktiviti penyelidikan, tugas operasi berkaitan pemasaran sosial seperti pengiklanan bagi tujuan pendidikan dan keselamatan jalan raya, penerbitan dan penyebaran ilmu serta menyediakan khidmat profesional dan masyarakat.

24.    Pegawai Penerbitan

    Bertanggungjawab dalam melaksanakan aktiviti-aktiviti perancangan dan penerbitan, penyuntingan laman web (Bahasa Malaysia dan Bahasa Inggeris), percetakan serta keperluan pembangunan dan latihan staf.

25.    Jurubahasa Serentak

    Bertanggungjawab membuat terjemahan serentak serta terjemahan secara bertulis Aturan Urusan Mesyuarat (AUM) bagi persidangan Dewan Rakyat dan Dewan Negara dengan sempurna dan berkualiti. Jurubahasa Serentak juga menjalankan tugas sekretariat bagi sebarang persidangan antarabangsa yang dianjurkan oleh Parlimen Malaysia seperti Persatuan Parlimen Komanwel (CPA), Persatuan Antara Parlimen-parlimen (IPU), Perhimpunan Antara Parlimen ASEAN (AIPA) dan sebagainya. Mengiringi dan memberi taklimat kepada pelawat asing yang datang melawat Parlimen Malaysia.

26.    Pengurus Asrama

    Bertanggungjawab mengurus dan menyelaras pentadbiran am dan kewangan kolej, merancang dan mengendalikan penempatan pelajar, mengawal selia pengurusan inventori kolej, penyelaras pembangunan pelajar di kolej, memantau dan menguatkuasakan kebersihan makanan dan premis.

27.    Pegawai Tadbir

    Bertanggungjawab menguruskan perolehan peralatan pejabat agensi-agensi kerajaan, memberi khidmat pakar runding terhadap sistem kerja serta pengurusan kakitangan, membantu urusan pindah milik, gadaian, melepaskan gadaian dan pajakan serta bertanggungjawab ke atas pembahagian pusaka.

Post a Comment

Previous Post Next Post