SEMINAR AMALAN TERBAIK DAN INOVASI 2019 PERINGKAT KEBANGSAAN
Majlis Guru Cemerlang Negeri Sembilan (MGCNS) yang diketuai oleh YBrs En. Mohd Nizam Mad Tahir, Yang Dipertua Majlis Guru Cemerlang Negeri Sembilan merangkap Naib Yang Dipertua Majlis Guru Cemerlang Malaysia dengan kerjasama Jabatan Pendidikan Negeri Sembilan (JPNS), telah menganjurkan Seminar Amalan Terbaik dan Inovasi (SATI 2019) Peringkat Kebangsaan, semalam.
Seminar yang bertemakan Amalan Terbaik dan Inovasi Memacu Kecemerlangan Pendidikan telah berlangsung di Institut Latihan Perindustrian Pedas.
Majlis perasmian telah disempurnakan oleh Ketua Pengarah Pelajaran Malaysia, YBhg. Datuk Dr. Amin Senin.
Persidangan ini dianjurkan sebagai satu platform untuk para guru dan warga pendidik membentangkan hasil penyelidikan dan amalan terbaik Pengajaran dan Pemudahcaraan (PdPc) termasuk kajian tindakan serta mengiktiraf kajian serta penyelidikan yang berkualiti untuk dikongsi dalam platform di peringkat kebangsaan.
Dalam ucapan, YBhg Datuk Dr. Amin berkata, KPM tidak mahu lagi mengukur kecemerlangan melalui KPI atau GPS sekolah. Tumpuan perlu diberi kepada Pembangunan Sahsiah murid dan penguasaan tahap minimum individu pelajar, kata beliau.
Guru perlu berlaku adil kepada semua anak didik dan tidak mengabaikan pelajar lemah akademik. Latih tubi tidak lagi boleh menjurus kepada peperiksaan sahaja. Guru harus membangunkan proses berfikir pelajar dalam mendapatkan sesuatu jawapan atau penyelesaian.
Menjadi tanggungjawab guru-guru untuk mengubah landskap dalam pendidikan ke arah pembagunan holistik dan sahsiah pelajar dan tidak menumpu peperiksaan semata-mata.
Turut hadir Yang Bhg Dato’ Pakharuddin Ghazali, Pengarah Jabatan Pendidikan Negeri Sembilan.
Seminar kali ini disertai seramai 230 orang warga pendidik.
Sumber : Facebook KPM