Susunan Darjah Kebesaran, Bintang dan Pingat Persekutuan mengikut keutamaan
Bil. | Maksud Darjah Kebesaran, Bintang dan Pingat Persekutuan (DKBPP) | Ringkasan |
1 | Seri Pahlawan Gagah Perkasa | S.P. |
2 | Darjah Kerabat Diraja Malaysia | D.K.M. |
3 | Darjah Utama Seri Mahkota Negara | D.M.N. |
4 | Seri Maharaja Mangku Negara | S.M.N. |
5 | Seri Setia Mahkota Malaysia | S.S.M. |
6 | Darjah Bakti | D.B. |
7 | Panglima Mangku Negara | P.M.N. |
8 | Panglima Setia Mahkota | P.S.M. |
9 | Panglima Jasa Negara | P.J.N. |
10 | Panglima Setia Diraja | P.S.D. |
11 | Johan Mangku Negara | J.M.N. |
12 | Johan Setia Mahkota | J.S.M. |
13 | Johan Setia Diraja | J.S.D. |
14 | Kesatria Mangku Negara | K.M.N. |
15 | Kesatria Setia Diraja | K.S.D. |
16 | Ahli Mangku Negara | A.M.N. |
17 | Pingat Pangkuan Negara | P.P.N. |
18 | Bentara Setia Diraja | B.S.D. |
19 | Panglima Gagah Berani | P.G.B. |
20 | Jasa Perkasa Persekutuan | J.P.P. |
21 | Pingat Tentera Udara | P.T.U. |
22 | Pingat Kebaktian | P.K. |
23 | Pingat Khidmat Berbakti | P.K.B. |
24 | Pingat Perkhidmatan Setia | P.P.S. |
25 | Kepujian Perutusan Keberanian | K.P.K. |
26 | Pingat Perkhidmatan Am | P.P.A. |
27 | Pingat Peringatan Malaysia | P.P.M. |
28 | Pingat Negara Bangsa-Bangsa Bersatu | P.N.B.B. |
29 | Pingat Jasa Malaysia | P.J.M. |
30 | Pingat Pertabalan | - |
Apakah Maksud Singkatan pada Darjah Kebesaran, Bintang dan Pingat Persekutuan (DKBPP)?
1. Seri Pahlawan Gagah Perkasa (S.P.)
(i) Bintang Kehormatan ini dikurniakan kepada sesiapa juga yang telah menunjukkan keberanian luar biasa atau telah melakukan sesuatu dengan gagah berani dan penuh pengorbanan.
(ii) Seseorang yang menerima anugerah ini layak untuk mendapat elaun kenangan berjumlah RM2,000.00 sebulan. Bagi anugerah posthumous, elaun kenangan akan dibayar kepada waris kadim sekaligus berjumlah RM 20,000.00.
(iii) Penerima pertama S.P. ialah mendiang Veloo a/l Rajavelu pada tahun 1963. Beliau dianugerahkan kerana keberanian dan semangat kemasyarakatan dalam membanteras rompakan di Klang pada Ogos 1962 sehingga mengorbankan nyawanya.
2. Seri Maharaja Mangku Negara (S.M.N.)
(i) Darjah Pangkat Pertama dalam Darjah Yang Mulia Pangkuan Negara ini dikurniakan kepada mereka yang telah berbuat jasa yang cemerlang kepada negara selama beberapa waktu dengan penuh tanggungjawab dan mereka ini mempunyai kedudukan yang tinggi serta berpengaruh.
(ii) Pengurniaan Darjah Kebesaran ini membawa gelaran ‘TUN’.
3. Seri Setia Mahkota (S.S.M.)
(i) Darjah Pangkat Pertama dalam Darjah Yang Mulia Setia Mahkota Malaysia ini dikurniakan kepada mereka yang telah banyak berbuat jasa yang cemerlang kepada Negara dengan penuh tanggungjawab dan berpengaruh serta bertaraf tinggi kedudukannya.
(ii) Pengurniaan Darjah Kebesaran ini membawa gelaran ‘TUN’.
4. Darjah Bakti (D.B.)
(i) Darjah ini dikurniakan kepada rakyat Malaysia yang telah memberi sumbangan dalam semua bidang seperti bidang seni, sains dan kemanusiaan, dan telah mempunyai nama yang masyhur di Malaysia dan juga di peringkat antarabangsa.
(ii) Darjah ini telah dikurniakan kepada YBhg. Dato’ Nicol Ann David, ratu squash negara dan YBhg. Dato’ Lee Chong Wei, jaguh badminton negara.
5. Panglima Mangku Negara (P.M.N.)
(i) Darjah Pangkat Kedua dalam Darjah Yang Mulia Pangkuan Negara ini dikurniakan kepada mereka yang tinggi taraf kedudukannya serta terkenal kerana perkhidmatan cemerlang mereka kepada Negara dalam apa jua lapangan.
(ii) Pengurniaan Darjah Kebesaran ini membawa gelaran ‘TAN SRI’.
6. Panglima Setia Mahkota (P.S.M.)
(i) Darjah Pangkat Kedua dalam Darjah Yang Mulia Setia Mahkota ini dikurniakan kepada mereka yang mempunyai taraf kedudukan yang tinggi serta terkenal kerana khidmat cemerlang kepada Negara dalam apa jua lapangan.
(ii) Pengurniaan Darjah Kebesaran ini membawa gelaran ‘TAN SRI’.
7. Panglima Jasa Negara (P.J.N.)
(i) Darjah Pangkat Pertama kepada Darjah Yang Mulia Jasa Negara ini dikurniakan kepada mereka yang mempunyai taraf kedudukan yang tinggi serta terkenal kerana khidmat cemerlang kepada Negara dalam apa jua lapangan.
(ii) Pengurniaan Darjah Kebesaran ini membawa gelaran ‘DATUK’.
8. Panglima Setia Diraja (P.S.D.)
(i) Darjah Pangkat Pertama dalam Darjah Yang Amat Dihormati Setia Diraja ini dikurniakan kepada mereka yang telah berkhidmat dengan cemerlang dan penuh taat setia kepada Seri Paduka Baginda Yang di-Pertuan Agong dan Seri Paduka Baginda Raja Permaisuri Agong.
(ii) Pengurniaan Darjah Kebesaran ini membawa gelaran ‘DATUK’.
9. Johan Mangku Negara (J.M.N.)
(i) Darjah Pangkat Ketiga dalam Darjah Yang Mulia Pangkuan Negara ini dikurniakan kepada mereka yang tinggi taraf kedudukan dan telah membuat jasa cemerlang kepada negara.
10. Johan Setia Mahkota (J.S.M.)
(i) Darjah Pangkat Ketiga dalam Darjah Yang Mulia Setia Mahkota ini dikurniakan kepada mereka yang tinggi taraf kedudukan dan telah membuat jasa cemerlang kepada Negara.
11. Johan Setia Diraja (J.S.D.)
(i) Darjah Pangkat Kedua dalam Darjah Yang Amat Dihormati Setia Diraja ini dikurniakan kepada mereka yang telah memberikan khidmat dan jasa yang cemerlang serta taat setia yang tinggi kepada institusi Seri Paduka Baginda Yang di-Pertuan Agong dan Seri Paduka Baginda Raja Permaisuri Agong.
12. Kesatria Mangku Negara (K.M.N.)
(i) Bintang ini dikurniakan kepada mereka yang telah berjasa tinggi kepada Negara dalam apa jua lapangan.
13. Kesatria Setia Diraja (K.S.D.)
(i) Bintang ini dikurniakan kepada mereka yang telah mempersembahkan jasa yang cemerlang kepada institusi Seri Paduka Baginda Yang di-Pertuan Agong dan Seri Paduka Baginda Raja Permaisuri Agong.
14. Ahli Mangku Negara (A.M.N.)
(i) Bintang ini dikurniakan kepada mereka yang telah memberi jasa-jasa yang cemerlang. Sumbangan dan khidmat bakti yang diberikan adalah yang lebih daripada yang sepatutnya.
15. Pingat Pangkuan Negara (P.P.N.)
(i) Pingat ini dikurniakan kepada mereka yang telah menunjukkan kecemerlangan dan kesetiaan terhadap perkhidmatan dan Negara dalam apa juga lapangan.
16. Bentara Setia Diraja (B.S.D.)
(i) Pingat ini dikurniakan kepada mereka yang mempersembahkan khidmat dengan bersungguh-sungguh dan setia kepada institusi Seri Paduka Baginda Yang di-Pertuan Agong dan Seri Paduka Baginda Raja Permaisuri Agong.
17. Panglima Gagah Berani (PGB)
(i) Bintang Kehormatan ini dikurniakan kepada mereka yang telah menunjukkan kegagahan dan keberanian yang luar biasa sewaktu menghadapi musuh tanpa memikirkan keselamatan diri serta boleh dikurniakan kepada mereka yang telah meninggal dunia (posthumous).
(ii) Seseorang yang menerima anugerah ini layak untuk mendapat elaun kenangan berjumlah RM1,500.00 sebulan. Bagi anugerah posthumous, elaun kenangan akan dibayar kepada waris kadim sekaligus berjumlah RM15,000.00.
(iii) Antara penerima pertama P.G.B. ialah YBhg. Leftenan Datuk Abdul Rahman bin Haji Khamis (B) pada tahun 1958. Beliau dikurniakan bintang ini kerana keberanian, kemahiran dan kepakaran luar biasa dalam operasi menentang kegiatan komunis sekitar tahun 1957.
18. Jasa Perkasa Persekutuan (J.P.P.)
(i) Bintang ini dikurniakan kepada mereka yang telah menunjukkan kegagahan dan keberanian luar biasa tanpa berhadapan dengan musuh. Pingat ini boleh dikurniakan walaupun seseorang itu telah meninggal dunia (posthumous).
(ii) Antara penerima pertama JPP ialah mendiang Koperal Penyiasat Choo Chan dari Cawangan Khas Perak pada tahun 1958. Beliau dikurniakan bintang ini kerana keberanian dalam banyak operasi khas dan juga ketika menyerang kem musuh.
(iii) Seseorang yang menerima anugerah ini layak untuk mendapat Elaun Kenangan berjumlah RM1,000.00 sebulan. Bagi anugerah posthumous, elaun kenangan akan dibayar kepada waris kadim sekaligus berjumlah RM10,000.00.
19. Pingat Tentera Udara (P.T.U.)
(i) Pingat ini dikurniakan kerana keperwiraan, keberanian atau taat setia yang teristimewa yang ditunjukkan oleh anggota-anggota Tentera Udara Diraja Malaysia semasa menjalankan tugas di dalam dan di luar operasi penerbangan. Pingat ini boleh dikurniakan walaupun seseorang itu telah meninggal dunia.
(ii) Seseorang yang menerima anugerah ini layak untuk mendapat Elaun Kenangan berjumlah RM1,000.00 sebulan. Bagi anugerah posthumous, elaun kenangan akan dibayar kepada waris kadim sekaligus berjumlah RM10,000.00.
(iii) Pengurniaan Pingat PTU telah dihentikan pada Tahun 2011 dan calon yang layak boleh dipertimbangkan untuk pengurniaan Pingat JPP mengikut syarat yang telah ditetapkan.
20. Kepujian Perutusan Keberanian (K.P.K.)
(i) Anugerah ini dikurniakan kepada anggota Angkatan Tentera Diraja Malaysia dan Polis Diraja Malaysia yang telah menunjukkan sesuatu yang dianggap gagah atau berani dan patut diiktiraf, akan tetapi taraf keberanian tidaklah sebegitu tinggi untuk dikurniakan sesuatu Pingat. Lambang ini boleh dikurniakan walaupun seseorang itu telah meninggal dunia.