2 Kursus baharu di Universiti Awam

Kursus Falsafah dan Isu Semasa dan Kursus Penghayatan Etika dan Peradaban diperkenal di Universiti Awam


Kekuatan sesebuah negara terletak kepada pemikiran rakyatnya. Dengan pemikiran ini jugalah kita menentukan hala tuju negara; baik dari segi pembangunannya, ekonominya, dan politiknya.



Untuk membina pemikiran yang kritis, kreatif, inovatif, sihat dan matang, kita perlukan pendidikan. Pendidikan ialah wahana paling penting untuk menentukan pemikiran rakyat yang bagaimanakah yang ingin kita bentuk suatu hari nanti.

Kita sudah ada pendidikan sivik di sekolah yang telah dilancarkan oleh Tun beberapa bulan yang lalu.

Tetapi ia tidak boleh berhenti di situ. Pendidikan yang membangunkan peribadi ini harus berterusan sehingga ke peringkat pengajian tinggi.

Mengerti betapa pentingnya hal ini, sukanya ingin saya umumkan dua kursus baharu yang telah kita perkenalkan di semua Universiti Awam kita bermula sesi 2019/2020.

Pertamanya, Kursus Falsafah dan Isu Semasa. Keduanya, Kursus Penghayatan Etika dan Peradaban. Kedua-dua kursus ini ialah kursus yang wajib diambil oleh mahasiswa kita dan ia boleh diambil bila-bila masa sepanjang tempoh pengajian mereka.

Ramai orang menganggap falsafah ialah pengetahuan yang berat dan meletihkan. Hakikatnya, ilmu falsafah ialah ilmu berfikir. Dengan falsafahlah kita belajar mengaturcara fikiran seterusnya membina tamadun pemikiran. Dengan falsafah jugalah kita menganalisa, mencari kebenaran, dan seterusnya merancang penyelesaian.

Kerana di akhirnya, kita mahu memastikan siswazah keluaran universiti kita tinggi pemikirannya, muluk peribadinya, dan sentiasa cuba untuk menyelesaikan masalah masyarakat.


Sumber :
https://m.facebook.com/DrMaszleeMalik/photos/a.230666793671268/3153753261362592/?type=3


Post a Comment

Previous Post Next Post