Kelonggaran Kepada Penjawat Awam Yang Mempunyai Anak Istimewa (OKU)
TAJUK : PENJAWAT AWAM, PESARA DAN ANAK OKU
Perkara paling penting yang perlu dilakukan oleh seorang PENJAWAT AWAM yang mempunyai anak OKU ialah:
- Kemaskini maklumat anak anda dalam sistem hrmis dan maklumkan kepada ketua jabatan melalui bahagian pengurusan sumber manusia, setidak tidaknya kongsikan dengan rakan-rakan sepejabat bahawa anda mempunyai anak istimewa. Pastikan dalam fail peribadi anda telah mempunyai maklumat kesemua anak-anak anda, termasuk anak istimewa (OKU) anda.
- Jangan sekali-kali menyembunyikan maklumat anak istimewa anda, ingat, ini soal mereka, hak mereka di kemudian hari, bukan soal anda
- Jangan pernah merasa malu dan takut dikecam jika diketahui punyai anak istimewa
- Segera daftarkan anak istimewa anda tersebut dengan pihak jabatan kebajikan masyarakat (JKM) untuk dapatkan Kad OKU, jangan malu kerana kad tersebut banyak kelebihannya dan ia merupakan hak anak anda, bukan hak anda!
Ketahui 25 kelebihan dan keistimewaan memiliki Kad OKU yang dikeluarkan oleh pihak JKM :
ANTARA KELEBIHAN-KELEBIHAN PENJAWAT AWAM YANG MEMPUNYAI ANAK OKU IALAH:
1. PENEMPATAN BERDEKATAN KEMUDAHAN OKU
Ibu bapa anak OKU boleh dipertimbangkan untuk tidak ditempatkan di kawasan pedalaman yang kurang kemudahan untuk anak istimewa seperti hospital, pusat pemulihan atau kemudahan pendidikan khas. Jadi penempatan di kawasan bandar yang mempunyai kemudahan yang lebih baik adalah penting untuk perkembangan dan intervensi awal serta kesihatan anak. Macam mana anak-anak nak dapatkan terapi aquatic dan terapi berkuda umpamanya jika tempat tersebut pun tiada kemudahan kolam renang atau pusat ekuastrian. Itu belum lagi nak isu nak pergi sekolah, pusat intervensi, hospital yang jaraknya mengambil masa yang lama, kadang tu lebih sejam. Alasan ini perlu diberi perhatian membabitkan penempatan dan perpindahan penjawat awam ke sesuatu lokasi.
Sebagai penjawat awam, ingat ya, ini bukan ‘hak mutlak’ anda tapi anda boleh cuba mohon. Jika bos atau Jabatan anda tidak luluskan, cuba lagi, banyakkan berdoa agar dipermudahkan urusan dan dilembutkan hati bos dan pegawai yang menguruskan penempatan. Kita semua ni adalah manusia, hamba Tuhan, jika minta pada manusia, kadang terkecewa, justeru mintalah pada Yang Maha Esa, Dia pasti Mendengar dan mengabulkan permintaan kita.
Oh ya, satu perkara yang juga sangat penting untuk penjawat awam kategori punyai anak istimewa ini ialah, mempunyai anak istimewa bukanlah alasan untuk anda tidak berprestasi tinggi dan sebagai penghalang untuk anda melakukan tugasan yang diamanahkan.
Jangan jadikan alasan ada anak OKU sebagai punca untuk anda ambil kesempatan dan menyalahgunakan kelonggaran yang diberikan. Ini kerana, perbuatan tidak bertanggungjawab anda itu bakal memberikan kesan negatif kepada ibu bapa/penjawat awam lain yang turut punya anak istimewa, bos-bos mereka bakal terpengaruh dengan kes-kes salah guna atau ambil kesempatan ini dan anggapan yang sama terhadap anda, walaupun anda tidak pernah terlibat.
Secara logiknya, ibu bapa yang punyai anak istimewa kebiasaannya dikurniakan Tuhan dengan kelebihan tersendiri iaitu lebih banyak bersabar, lebih banyak berserah, lebih banyak bersyukur, lebih banyak membuat kebaikan, lebih banyak memberi, lebih banyak merendahkan hati, lebih banyak motivasi kerana ujian dan cabaran yang dihadapi oleh mereka setiap hari bukan kepalang, berat mata memandang, berat lagi bahu yang memikul. Namun dalam masa yang sama, terdapat juga sebilangan kecil yang mengambil kesempatan untuk kepentingan diri semata-mata, harap anda tidaklah tergolong dalam kumpulan ini, kerana ingatlah, pendapatan anda perlulah pendapatan yang bersih dan berkat, tanpa sebarang salah guna atau sengaja mengambil jalan mudah untuk mengelak dari menggalas tanggungjawab yang telahpun diamanahkan.
2. PEMILIHAN WAKTU BEKERJA
Bagi semua anggota perkhidmatan awam yang mempunyai anak-anak kurang upaya, kerajaan akan membenarkan mereka bekerja mengikut ‘flexi-hours’ supaya dapat memudahkan urusan kebajikan anak mereka.
Penting untuk pilih nak masuk kerja pukul 7.30am, 8.00am, 8.30am atau 9.00am terutama bila anak OKU susah tidur malam, lewat bangun pagi dan nak hantar sekolah mengambil masa.
Boleh rujukan pekeliling perkhidmatan bilangan 5 tahun 2019 mengenai Waktu Bekerja Fleksibel ini:
https://www.parlimen.gov.my/images/webuser/pengumuman/2018/PEKELILING/pp052019-%20PELAKSANAAN%20WAKTU%20BEKERJA%20FLEKSI%20-WBF-%202019.pdf
3. MENGURUS ANAK PADA WAKTU KERJA
Kebenaran kepada pegawai awam yang mempunyai anak kurang upaya menggunakan waktu bekerja untuk menguruskan anak-anak mereka?
Boleh dengan menggunakan masa-masa tertentu yang diperlukan dalam Waktu Bekerja biasa mengikut kesesuaian masing-masing seperti surat JPA(S) 1619 Klt. 11(29) bertarikh 30 Ogos 2004.
Isi borang meninggalkan pejabat. Yang penting dapatkan kebenaran penyelia anda, jangan keluar begitu sahaja tanpa kebenaran atau tanpa diketahui. Sebaiknya buat satu surat atau memo memohon kebenaran khas dari penyelia atau ketua jabatan anda terlebih dahulu. Tertakluk kepada kelulusan, cuba la berjumpa dengan ketua/penyelia anda, terangkan keadaan sebenar, jangan hanya letak surat/memo permohonan tu di atas mejanya, dikhuatiri maksud yang anda ingin sampaikan, tidak kesampaian.
4. POTONGAN CUKAI BULAN (PCB) DIKURANGKAN
Tiap-tiap bulan mesti dipotong PCB. Jadi isi borang berapa bilangan anak OKU dan normal (minta pada admin masing2) jadi bilangan PCB memang kurang. Anak OKU dikira 1anak OKU= 3 anak normal. Boleh rujuk dengan pihak LHDN untuk maklumat selanjutnya.
5. PENCEN TERBITAN
Kerajaan melalui JPA menyediakan pencen terbitan kepada anak OKU penjawat awam atau pesara yang telah meninggal dunia. Pencen ini diberikan sepanjang hayat anak OKU berkenaan, jika diluluskan permohonan.
Syarat-syarat yang perlu dipenuhi bagi melayakkan anak tersebut menerima pencen terbitan kelak ialah:
- Anak tersebut mengidap ketidakupayaan otak, ketidakupayaan anggota atau kecelaruan mental (untuk kes mental, mesti di tahap teruk);
- Ketidakupayaannya kekal;
- Tidak mampu bekerja dan menanggung dirinya sendiri;
- Mengidap ketidakupayaan sebelum mencapai umur 21 tahun; dan
- Mendaftarkan permohonan anak OKU tanggungan pesara melalui borang JPA.BP.UMUM.B04 (boleh didapati di laman portal www.jpapencen.gov.my)
Garis Panduan Permohonan Daftar Anak OKU Tanggungan Pesara boleh didapati di pautan ini:
http://www.jpapencen.gov.my/Garis%20Panduan%20Pendaftaran%20Anak%20Kurang%20Upaya%20Tanggungan%20Pesara.pdf
Adakah anak yang sudah memiliki kad OKU akan secara automatik layak pencen?
Tidak. Memiliki kad OKU tidak semestinya layak menerima pencen.
Pemohon hendaklah memenuhi kesemua syarat-syarat di atas, disahkan oleh Pakar Perubatan Kerajaan dan mendapat pertimbangan daripada Jawatankuasa Penetapan Anak OKU Tanggungan Pesara di JPA.
Anak yang sudah mempunyai Kad OKU tersebut masih wajib memohon dengan melengkapkan borang pengesahan pakar perubatan untuk anak OKU tanggungan pesara. Setelah diluluskan permohonan, barulah layak menerima pencen terbitan, setelah kematian kedua ibu bapanya.
Sebaiknya semasa pegawai nak bersara, lengkapkan terus borang permohonan ini bersekali dengan borang-borang permohonan persaraan. Jika anda sudahpun bersara atau pesara telahpun meninggal dunia, anak OKU pesara itu masih boleh memohon melalui penjaganya.
6. CUTI SEPARUH GAJI MENJAGA ANAK.
Jika anda atau ada rakan-rakan anda punyai kesulitan menjaga anak OKU yang sakit boleh mohon kemudahan Cuti Separuh Gaji maksimum 180 Hari, tertakluk kepada kelulusan Ketua Jabatan. Perlu ada kad OKU, pengesahan doktor atau surat sokongan lain sebagai dokumen sokongan semasa memohon. Dalam borang cuti tersebut ada ruangan yang perlu ditanda OKU. Jadi sebelum cuti tanpa gaji, gunakan kemudahan ini dulu.
7. BERSARA PILIHAN
Jika tak ada jalan keluar tentang penjagaan anak OKU ini adalah langkah terakhir. Tapi apa guna persatuan kebajikan tempat kerja masing2 kalau tak ambil kira kebajikan staf sampai perlu berhenti kerja. Sedih huhu
Jadi kalau ditakdirkan perlu berhenti kerja awal pastikan anda layak mendapat pencen. Bersara pilihan layak dapat pencen jika:
- Berkhidmat 10 tahun (tolak tempoh perkhidmatan yang tidak boleh dimasukkira - cuti tanpa gaji)
- Berusia 40 tahun;
- Bebas tindakan tatatertib;
- Bebas tapisan SPRM; dan
- Disokong oleh Ketua Jabatan.
Contohnya:
Saya umur 40 tahun dan berkhidmat lebih 14 tahun. Kalau jadi apa2 sebelum tempoh 40 tahun, perlu guna kemudahan cuti separuh gaji dan cuti tanpa gaji. Kalau meninggal sebelum 40 tahun.. Anak OKU akan dapat pencen terbitan, jika dia memenuhi kelayakan yang telah ditetapkan.
Perlu diingat wang ganjaran dan GCR boleh dapat pada tarikh bersara pilihan, tapi wang bulanan pencen hanya dapat bila umur 55 tahun (tertakluk kepada tarikh lantikan, jika dilantik sebelum 12.4.1991, maka bagi anggota wanita, pencen dibayar pada umur 45 tahun, bagi lelaki, umurnya 50 akan mula dibayar pencen).
Sekian perkongsian. Silakan SHARE sebanyaknya terutama kepada rakan-rakan anda yang merupakan OKU atau mempunyai anak OKU di kalangan penjawat awam mahupun pesara.
Ramai yang masih belum tahu berkenaan informasi ini.
Kepada anda yang mempunyai anak-anak istimewa ini, kami doakan anda semua sekeluarga sentiasa dirahmati dan dipermudahkan segala urusan dalam menggalas tanggungjawab anda sebagai insan sangat istimewa kepada anak-anak anda tersebut.
Terima kasih kepada penulis asal Puan Noriza Binti Mat Hashim daripada Politeknik Sultan Haji Ahmad Shah Kuantan Pahang yang berkongsikan informasi ini pada tahun yang lalu.
Sumber :
https://www.facebook.com/204379469651454/posts/2419524444803601/