Layakkah pasangan menerima pencen terbitan jika berkahwin di luar negara tetapi tidak didaftarkan di Malaysia?

Soalan Lazim Berkaitan Pencen

Tajuk: Berkahwin di Luar Negeri





Soalan:

Saya merupakan seorang guru yang bakal bersara wajib beberapa tahun akan datang.

Saya telah berkahwin dengan suami saya, seorang warganegara Australia yang telah memeluk agama Islam. Kami berkahwin di sebuah Masjid yang terletak di sebuah pekan kecil di dalam Bandaraya Sydney pada tahun 1994, iaitu selepas saya selesai pengajian di peringkat Sarjana di sana. Setelah pulang tinggal di Malaysia, kami tidak pernah mendaftar di mana-mana pejabat agama Islam. Kami telah dikurniakan 2 orang anak yang kini telah pun berusia 24 tahun dan 22 tahun.

Soalan saya: 

Adakah setelah saya bersara nanti, jika saya meninggal dunia, suami saya tersebut layak pencen terbitan kepunyaan saya? 

Saya dengar ada kawan bagi tahu yang perkahwinan saya tidak berdaftar di Malaysia, maka suami saya tu tak layak pencen saya, betul ke admin?

Jawapan:

Salam Cikgu,

Terima kasih kerana menghubungi pihak kami.

Sekiranya Cikgu masih menyimpan segala dokumen yang mengiktiraf atau mengesahkan perkahwinan bersama suami itu, mohon pihak Cikgu kemukakan sijil/surat pernikahan/perkahwinan tersebut semasa Cikgu bersara kelak. Jika dokumen tersebut sudahpun hilang dalam simpanan, sebaiknya Cikgu dapatkan semula samada pergi semula ke tempat di mana perkahwinan tersebut berlaku, dapatkan pengesahan pihak berkuasa agama yang terdapat di sana dan dapatkan juga pengesahan daripada Kedutaan Besar / Pejabat Konsulat Malaysia di Australia.

Selagi mana sesebuah perkahwinan itu dapat dibuktikan dengan dokumen yang sah, walau di mana sahaja perkahwinan tersebut berlaku, asalkan sah di sisi undang-undang agama, adat atau kelaziman yang diiktiraf di Malaysia, maka perkahwinan tersebut tetap sah dan pasangan tersebut tetap akan layak menerima pencen terbitan setelah kematian pesara.

Contoh perkahwinan yang sah di negara lain tetapi tidak diiktiraf di Malaysia:

- perkahwinan yang melibatkan sama jenis seperti LGBT. Di Amerika umpamanya, perkahwinan sejenis adalah sah di sisi undang-undang di sana, namun ianya tidak diiktiraf di Malaysia. Tetap tidak sah dan tidak layak;

- perkahwinan berlainan ugama, contoh suaminya agama Kristian, isterinya ugama Islam, perkahwinan ini juga tidak diiktiraf di Malaysia sebagai sebuah perkahwinan yang sah;

- perkahwinan yang berlaku antara adik beradik kandung atau pertalian keluarga yang terdekat, yang tidak diiktiraf oleh undang-undang dan syara’. Contohnya adik kahwin dengan abang kandung, atau individu mengahwini 2 orang isteri yang merupakan adik-beradik dan kedua-duanya masih hidup;

- perkahwinan tanpa sebarang upacara atau majlis atau lafaz nikah/kahwin yang diselangi dengan pengeluaran dokumen pengesahan. Contohnya tinggal serumah / sebumbung sekian lama, punyai beberapa orang anak hasil bersekedudukan, maka perkahwinan tersebut adalah tidak sah dan tidak diiktiraf di Malaysia, walaupun di negara tersebut ia sesuatu yang normal. Tetapi dalam hal ini, anak hasil bersekedudukan tersebut boleh dipertimbangkan jika dibuktikan sebagai anak kandung yang sah, dianggap sebagai anak tak sah taraf.

Contoh perkahwinan yang tidak sah di negara lain dan tidak sah juga di Malaysia. 

- perkahwinan sindiket atau penipuan atau dinikahkan oleh pihak yang tidak diberikan kuasa atau tauliah. Ini biasanya berlaku di negara seberang. Bukan seberang jaya atau seberang perai yer.. Seberang tu di Siam ke, Indonesia ke Vietnam ke Batam ke Azerbaijian ke.



Sumber :
https://www.facebook.com/204379469651454/posts/2330452950377418/

Post a Comment

Previous Post Next Post