Bayaran pencen boleh diberhentikan jika pesara dipenjara atau mendapat kewarganegaraan lain

PEMBERHENTIAN BAYARAN PENCEN AKIBAT DIMASUKKAN KE DALAM PENJARA DAN MEMPEROLEH KEWARGANEGARAAN LAIN





TAHUKAH ANDA?

Bayaran pencen akan dihentikan sekiranya pesara atau penerima pencen itu dihukum penjara?

Seksyen 21, Akta Pencen 1980 [Akta 227] dan Seksyen 23, Akta Pencen Badan Berkanun Kuasa Tempatan [Akta 239] telah menetapkan bahawa:

“(1) Tertakluk kepada subseksyen (2), jika mana-mana orang yang telah diberikan pencen atau faedah lain di bawah Akta ini dikenakan hukuman mati atau penjara selama sesuatu tempoh oleh suatu Mahkamah, maka pencen atau faedah lain itu hendaklah terhenti dengan serta-merta.”

“(2) pencen atau faedah lain di bawah subseksyen (1) itu hendaklah diberikan semula dengan kuat kuasa kebelakangan bagi seseorang yang selepas disabitkan mendapat pengampunan.”

“(3) jika sesuatu pencen atau faedah lain terhenti di bawah subseksyen (1), yang di-pertuan Agong boleh memberikan elaun tanggungan yang banyaknya sama dengan semua atau mana- mana bahagian daripada wang yang pesara itu sepatutnya berhak mendapat sebagai pencen atau faedah lain yang difikirkannya patut kepada isteri atau anak pesara untuk nafkah dan faedah mereka dan, selepas tamat tempoh hukumannya, juga bagi faedah pesara itu sendiri.”



  • Dengan kata lain, sekiranya seorang pesara dikenakan hukuman penjara selama mana-mana tempoh oleh mana-mana Mahkamah di Malaysia/dunia, maka bayaran pencennya akan dihentikan setelah JPA menerima surat pengesahan, pemakluman atau keputusan daripada pihak Mahkamah/Berkuas.



  • Walau bagaimanapun, jika yang dipenjarakan itu adalah pesara LELAKI, sekiranya pesara LELAKI tersebut mempunyai isteri atau anak-anak di bawah umur 21 tahun, maka ELAUN TANGGUNGAN boleh dipertimbangkan kepada isteri atau anak-anak pesara tersebut.



  • Sekiranya pesara yang dipenjarakan itu adalah WANITA, tiada sebarang Elaun Tanggungan diberikan kepada SUAMI, hanya Anak-Anak di bawah umur 21 tahun sahaja layak dipertimbangkan Elaun Tanggungan ini.



  • Namun sekiranya pesara yang dimasukkan ke dalam penjara itu ialah seorang yang berstatus bujang, tiada sebarang Elaun Tanggungan diberikan kepada keluarga/warisnya.



Apakah itu ELAUN TANGGUNGAN?

Elaun Tanggungan ialah AMAUN YANG SAMA BANYAKNYA dengan amaun pencen yang selama ini diterima oleh pesara *tetapi tanpa sebarang kenaikan*, tanpa diberikan sebarang 'bonus', diberikan kepada isteri atau anak-anak yang layak, sekiranya pesara dimasukkan ke dalam penjara. Suami tidak layak menerima Elaun Tanggungan jika isterinya pesara, dipenjarakan.



Apakah yang berlaku setelah pesara tersebut DIBEBASKAN setelah menjalani hukuman penjara?

Setelah bebas menjalani hukuman penjara, Elaun Tanggungan yang telah diberikan kepada isteri dan anak-anak itu akan dipindahkan semula kepada pesara, namun masih kekal sebagai Elaun Tanggungan.

Status Elaun Tanggungan hanya boleh ditukarkan kepada PENCEN setelah mendapat 'pengampunan' sepertimana ketetapan Akta Pencen 1980 berikut:

Seksyen 21, Akta Pencen 1980 [Akta 227] dan Seksyen 23, Akta Pencen Badan Berkanun Kuasa Tempatan [Akta 239]:

“(2) pencen atau faedah lain di bawah subseksyen (1) itu hendaklah diberikan semula dengan kuat kuasa kebelakangan bagi seseorang yang selepas disabitkan mendapat pengampunan.”



PENCEN juga akan DIHENTIKAN sekiranya pesara Kerajaan menukar atau dilucutkan KEWARGANEGARAAN MALAYSIA atas apa-apa sebab sekalipun. 
Namun, jika pasangan (suami/isteri) dan anak-anak pesara yang merupakan warganegara asing, tiada masalah, mereka masih layak menerima pencen terbitan jika pesara telah meninggal dunia.



Sumber :
https://www.facebook.com/204379469651454/posts/2378167908939255/

Post a Comment

Previous Post Next Post