Sekolah kreatif ubah longkang jadi kolam ikan malah mampu menjana pendapatan untuk tabung sekolah!
IPOH 2 Okt - Kunjungan ke Padang, Bukit Tinggi, Sumatera di Indonesia kira-kira 10 tahun lalu yang menyaksikan hampir kebanyakan penduduk di sana memiliki kolam ikan memberi ilham kepada Noreha Salbidi.
Pengetua Sekolah Menengah Kebangsaan (SMK) Pinji di sini itu kemudian merealisasikan idea tersebut apabila mengubah sebatang longkang di sekolah tersebut menjadi tempat membela ikan.
Dengan modal hanya RM100, projek rintis yang dimulakan enam bulan lalu itu membuahkan hasil apabila longkang sepanjang 25 meter kini mempunyai kira-kira 100 ekor ikan tilapia.
Noreha yang mengetuai sekolah tersebut sejak Ogos 2018 memberitahu, projek berkenaan adalah sebahagian daripada pendekatan pihak sekolah untuk mengajak para pelajar berfikir di luar kotak.
Katanya, selain itu ia juga berpotensi untuk dijadikan sumber pendapatan sampingan sekolah apabila sebahagian ikan-ikan berkenaan dijual.
"Kos utama projek ini adalah bagi menyimen dasar longkang sepanjang 25 meter agar air tidak menyerap manakala kita gunakan air paip dan air hujan saja.
"Projek ini juga sebahagian daripada subjek biologi dan kita merancang untuk membela pelbagai jenis ikan di longkang yang lain pula," ujarnya.
Bagi proses menjaga ikan-ikan pula, ia dilakukan oleh para pelajar dengan dibantu petugas am sekolah termasuk mencuci longkang berkenaan setiap tiga bulan.
Baca selanjutnya : Utusan Online