Status Pencen Terbitan kepada Balu/Duda jika berkahwin lain

ADAKAH SETELAH PEGAWAI/PESARA MENINGGAL DUNIA, PENCEN TERBITAN YANG DIBERIKAN KEPADA BALU/DUDA DITERUSKAN JIKA MEREKA BERKAHWIN SEMULA DENGAN SUAMI/ISTERI BAHARU?


Soalan: 

Salam tuan, saya Lily, seorang pegawai Kerajaan yang memilih skim pencen, saya telah berkahwin dengan suami pertama saya yang juga merupakan penjawat awam.

Pada 3 tahun yang lalu, suami saya telah meninggal dunia akibat sakit jantung. Hasil perkongsian hidup dengan suami pertama kami dikurniakan 2 orang anak, dan kedua-dua anak kami ini telahpun berumur lebih 21 tahun. Saya juga menerima pencen terbitan arwah suami saya.

Soalan saya ialah, sekiranya saya ingin berkahwin semula dengan suami baharu, adakah pencen terbitan arwah suami pertama saya tersebut tetap diterima oleh saya? Adakah nilainya akan susut dan adakah had masa untuk saya menerimanya?

Sekiranya suami baharu saya itu juga merupakan penjawat awam, adakah kelak sekiranya suami baharu saya meninggal dunia, saya juga layak ke atas pencen terbitannya? Berapa lama?

Sekiranya saya yang meninggal dunia dulu kelak, adakah suami baharu saya itu layak ke atas pencen terbitan saya dan juga pencen terbitan arwah suami saya?

Untuk makluman tuan, saya akan bersara wajib pada tahun 2020.

Mohon penjelasan pihak tuan jua.

Jawapan:

Salam puan Lily, berikut merupakan jawapan kepada persoalan-persoalan yang diutarakan oleh puan:

1) Soalan saya ialah, sekiranya saya berkahwin semula dengan suami baharu, adakah pencen terbitan arwah suami pertama tersebut tetap diterima oleh saya? Adakah nilainya akan susut dan adakah had masa untuk saya menerimanya?

Jawapan: 

Pencen terbitan arwah suami pertama puan tetap dibayar walaupun puan berkahwin semula dengan suami yang baharu. Tiada susutan nilai terhadap kadar pencen terbitan tersebut dan pencen terbitan tersebut dibayar sepanjang hayat puan.

Ini disebabkan perkahwinan yang berlaku adalah semasa puan dan arwah suami masih sedang berkhidmat.

2) Sekiranya suami baharu saya itu juga merupakan penjawat awam, adakah kelak sekiranya suami baharu saya meninggal dunia, saya juga layak ke atas pencen terbitannya? Berapa lama? 

Jawapan: 

Yes, sekiranya suami baharu puan yang merupakan penjawat awam yang memilih skim pencen itu meninggal dunia kelak, puan tetap layak ke atas pencen arwah suami pertama dan juga suami yang baharu, sepanjang hayat puan.

Dan sekiranya puan pula yang bersara, maka puan juga akan menerima pencen puan. Maksudnya, puan akan menerima 3 jenis pencen iaitu pencen puan sebagai pesara, pencen terbitan suami pertama dan pencen terbitan suami kedua, sepanjang hayat puan.

3) Sekiranya saya yang meninggal dunia dulu kelak, adakah suami baharu saya itu layak ke atas pencen terbitan saya dan juga pencen terbitan arwah suami saya? 

Jawapan:

Sekiranya puan yang meninggal dunia dulu kelak, suami baharu akan layak menerima pencen terbitan puan sahaja.

Pencen terbitan daripada arwah suami pertama tidak layak dibayar kepada suami yang baharu.

Bahkan, suami baharu puan juga akan menerima dua jenis pencen kelak, iaitu pencennya sendiri setelah bersara dan pencen terbitan puan sepanjang hayatnya, dengan syarat perkahwinan semula antara puan dan suami baharu berlaku semasa puan masih sedang berkhidmat.

Diharap penjelasan ini dapat mempermudahkan kefahaman dan perancangan puan.

Sekian dimaklumkan.



Sumber :
https://www.facebook.com/204379469651454/posts/2449346788488033/

Post a Comment

Previous Post Next Post