PELAKSANAAN PEMBAYARAN PENEBUSAN AWAL GANTIAN CUTI REHAT (GCR)

PELAKSANAAN PEMBAYARAN PENEBUSAN AWAL GANTIAN CUTI REHAT (GCR)


Dengan hormatnya perkara di atas adalah dirujuk.

2. Sepertimana YBhg. Datuk/Dato’/Datin /Dr./Tuan/Puan sedia maklum, Kerajaan telah mengumumkan inisiatif kepada penjawat awam di dalam Belanjawan 2020 iaitu kebenaran penebusan awal award wang tunai Gantian Cuti Rehat (GCR). Inisiatif ini akan dilaksanakan dalam masa terdekat setelah Pekeliling Perkhidmatan berkaitan akan dikeluarkan kelak.

3. Bagi tujuan tersebut, Kerajaan telah bersetuju permohonan dan pembayaran penebusan awal GCR dilaksanakan di peringkat Kementerian/ Jabatan sahaja. Manakala Jabatan Perkhidmatan Awam (JPA) akan bertindak sebagai agensi yang meluluskan permohonan yang dikemukakan oleh pihak Kementerian/ Jabatan. Ini bermakna peruntukan penebusan awal GCR ini akan disalurkan terus daripada Kementerian Kewangan kepada Kementerian/ Jabatan mengikut bilangan pegawai yang memenuhi syarat-syarat asas yang telah ditetapkan iaitu :-

i. mempunyai tempoh perkhidmatan yang boleh dimasuk kira sekurang-kurangnya 15 tahun;

ii. telah mencapai umur 45 tahun; dan

iii. mempunyai jumlah GCR terkumpul sekurang-kurangnya 75 hari yang telah disemak dan dikemaskini berdasarkan pekeliling perkhidmatan dan peraturan berkaitan GCR.

4. Dalam menentukan jumlah penyaluran peruntukan tersebut, Ketua Jabatan hendaklah mengemaskini semua maklumat peribadi termasuk rekod cuti pegawai masing-masing di dalam Sistem Pengurusan Sumber Manusia (HRMIS). Pengemaskinian ini hendaklah dilaksanakan dalam tempoh dua minggu iaitu dari tarikh 18 Februari 2020 sehingga 28 Februari 2020. Sekiranya selepas tarikh yang ditetapkan pegawai yang layak tidak mengemaskini maklumat berkaitan dalam sistem HRMIS seperti di perenggan 3 di atas, pegawai tidak akan dipertimbangkan kebenaran penebusan awal award wang tunai Gantian Cuti Rehat (GCR).

5. Ketua Jabatan juga dikehendaki membuat persediaan yang sewajarnya dalam menerima dan mempertimbangkan permohonan penebusan awal GCR yang akan dikemukakan oleh pegawai masing-masing. Tarikh penyaluran tersebut kepada Kementerian/ Jabatan akan dimaklumkan setelah mendapat maklumat terperinci daripada Kementerian Kewangan.

6. Sehubungan itu, bersama-sama ini dilampirkan surat JPA JPA/PEN(S)123-2 Jld.3 (4) bertarikh 18 Februari 2020 untuk makluman YBhg. Datuk/Dato'/Datin/Dr./Tuan/Puan. Kerjasama dan perhatian YBhg. Datuk/Dato'/Datin/Dr./Tuan/Puan dalam perkara ini amatlah dihargai dan didahului dengan ucapan terima kasih.

Sekian.

Cawangan Perkhidmatan
Bahagian Pengurusan Sumber Manusia
Kementerian Pendidikan Malaysia




Post a Comment

Previous Post Next Post