SEJARAH BUKIT PUTUS, NEGERI SEMBILAN
Pada satu ketika dahulu Bukit Putus amat terkenal sebagai jalan utama yang menghubungkan antara Kuala Pilah dengan Seremban. Selain daripada itu, Bukit Putus juga menjadi pilihan pengguna jalan raya yang menuju ke destinasi pantai timur.
Ketika nama Bukit Putus memuncak sebagai laluan utama ke Seremban dan Kuala Pilah termasuk ke pantai timur, jalan yang banyak dengan selekoh ini dipenuhi dengan pelbagai kenderaan daripada yang kecil sehinggalah ke yang besar. Demikianlah hebatnya Bukit Putus sewaktu meniti era kegemilangannya.
Bukit Putus juga menjadi tempat pertempuran angkatan Yamtuan Antah dengan tentera Inggeris dalam peperangan yang berlaku pada 25 November 1875. Dalam erti kata lain Bukit Putus menjadi pencetus semangat kepada rakyat Negeri Sembilan untuk bangkit menentang penjajahan British.
Kepada generasi muda khususnya maka sewajarnyalah mengetahui bahawa Bukit Putus adalah antara tapak bersejarah yang terdapat di negeri ini di samping laluan yang digunakan oleh pelbagai kenderaan saban hari ketika namanya di puncak kemasyhuran.
Apabila meneliti gambar-gambar lama jelas menggambarkan bahawa pada zaman dahulu untuk sampai ke Kuala Pilah atau Seremban adalah berhari-hari lamanya atau berminggu-minggu lamanya. Hanya dengan munculnya kenderaan selepas zaman itu maka perjalanan menuju ke kedua-dua destinasi dengan menggunakan Bukit Putus menjadi singkat.
Jalan Bukit Putus yang dikelilingi dengan hutan tebal dan gaung yang dalam menjadikan ia menyimpan banyak kisah misteri terutamanya pada waktu tengah malam. Mungkin kerana kawasannya yang amat seram dan gelap maka kita sering mendengar kisah tersebut daripada mereka yang pernah mengalaminya.
Selain daripada kisah mistik, Bukit Putus turut dikaitkan dengan kisah seorang Cina penjual ayam yang menumpangkan seekor kucing yang diletakkan dalam raga ayam dan ayam itu kemudiannya lama tidak berbunyi. Apabila dia menoleh kucing itu telah bertukar menjadi seekor harimau yang dikatakan adalah Tok Paroi.
Satu cerita lagi ialah mengenai seorang Cina tua yang tinggal di bawah jambatan sungai terakhir yang terdapat di bukit ini. Selalu orang menghantar makanan kepadanya dan kemudian dia lalu menghilang dan tidak lagi ditemui. Bukit Putus juga dikaitkan pada masa dahulu dengan perkara ganjil yang dialami oleh mereka yang memandu kereta atau menunggang motosikal berseorangan. Tetapi semua ini hanya kisah orang tua-tua sahaja.
Apabila jalan baru siap dibina maka Bukit Putus tidak lagi digunakan dan tinggallah ia dalam kesepian. Sekarang ia sering digunakan untuk aktiviti riadah seperti berjogging dan berbasikal. Ini menjadikan Bukit Putus boleh dianggap antara tempat yang menjadikan Negeri Sembilan begitu amat unik sekali.
Namun begitu sejarah masa silam yang berkaitan dengan bukit ini tidak seharusnya kita lupakan. Sehubungan dengan itu, maka pihak Lembaga Muzium Negeri Sembilan mengetengahkan artikel mengenai Bukit Putus untuk dijadikan sebagai perkongsian warisan bersejarah.
Unit Media
Lembaga Muzium Negeri Sembilan
#DanaMemperkasakanAdatPerpatih
SUMBER
1. Allahyarham Tan Sri Datuk Abdul Samad Idris.
2. Gambar lama Bukit Putus sumber daripada Lembaga Muzium Negeri Sembilan.
3. Gambar sumber daripada https://www.mstar.com.my/xpose/mistik/2020/01/02/misteri-bukit-putus.
4. Gambar sumber daripada http://awakkatmanaaaatuuu.blogspot.com/2015/07/seram-kisah-misteri-menyeramkan-di.html.
Disusun
Drs. Shamsuddin bin Ahmad
Pengarah
Lembaga Muzium Negeri Sembilan
Asrul Effendi bin Kamaruzzaman
Penolong Kurator
Lembaga Muzium Negeri Sembilan
Sumber :
https://m.facebook.com/story.php?story_fbid=2780432115401577&id=197494640362017
Bukit putus cerita misteri bukan sahaja 'hanya' kisah orang orang tua, ianya juga berlaku pada anak anak muda yang melaluinya sepanjang zaman. Sedangkan kejadian diri kita juga penuh dengan misteri apa lagi alam persekitaran dan semesta yang teramat luas, ianya mustahil terjangkau dek akal manusia yang terhad.
ReplyDelete