DEFINISI TASKA, KATEGORI TASKA, AKTA BERKAITAN TASKA DAN SYARAT-SYARAT PENDAFTARAN
AKTA TAMAN ASUHAN KANAK-KANAK 1984 [AKTA 308]
Tujuan penggubalan adalah untuk mengadakan peruntukan bagi pendaftaran, pemeriksaan dan penguatkuasaan ke atas TASKA dan bagi perkara yang berkaitan dengannya demi menentukan kesejahteraan, keselamatan dan perkembangan menyeluruh kanak-kanak diutamakan.
DEFINISI TAMAN ASUHAN KANAK-KANAK
Di bawah Seksyen 2, Akta 308 “taman asuhan kanak-kanak” ertinya mana-mana premis yang menerima masuk empat (4) orang atau lebih kanak-kanak di bawah umur empat (4) tahun dari lebih daripada satu isi rumah untuk dijaga dengan upah.
DEFINISI TAMAN ASUHAN KANAK-KANAK BERDAFTAR
“Taman asuhan kanak-kanak berdaftar” ertinya suatu taman asuhan kanak-kanak yang didaftarkan di bawah seksyen 7.
Di bawah Seksyen 6 (1) tiada seorang pun boleh menjalankan atau mengambil bahagian dalam pengurusan suatu taman asuhan kanak-kanak yang tidak didaftarkan dibawah peruntukan–peruntukan Akta ini.
Di bawah Seksyen 6 (2) Akta 308 memperuntukkan bahawa mana-mana orang yang melanggar subseksyen (1) adalah melakukan suatu kesalahan
KATEGORI TASKA
Seksyen 5 Akta 308 memperuntukkan 4 kategori TASKA seperti berikut :1. TASKA Institusi
- Menerima 10 orang atau lebih kanak-kanak dalam jagaan
- Ditubuhkan atas inisiatif pihak swasta dan Badan Bukan Kerajaan (NGO)
2. TASKA Di Tempat Kerja
- Menerima 10 orang kanak-kanak atau lebih dalam jagaan
- Ditubuhkan atas inisiatif majikan untuk kebajikan pekerja
3. TASKA Komuniti
- Menerima 10 orang kanak-kanak atau lebih dalam jagaan
- Menerima bantuan daripada Kerajaan Persekutuan atau Kerajaan Negeri
- Ditubuhkan atas inisiatif komuniti untuk manfaat kepada keluarga yang berpendapatan rendah di bandar dan luar bandar
4. TASKA Di Rumah
- Menerima 4 hingga 9 orang kanak-kanak dalam jagaan
- Dijalankan di kediaman sendiri
SYARAT-SYARAT PENDAFTARAN
Berdaftar dengan Suruhanjaya Syarikat Malaysia (SSM) atau Pendaftar Pertubuhan (ROS).
Memenuhi standard minimum Jabatan Kebajikan Masyarakat.
TASKA memenuhi syarat-syarat yang ditetapkan oleh agensi teknikal seperti berikut :
- Pihak Berkuasa Tempatan
- Jabatan Bomba dan Penyelamat
- Jabatan Kesihatan
- Jabatan Tanah dan Survei (Sarawak sahaja)
STANDARD MINIMUM JKM
Di antara standard minimum yang ditetapkan adalah seperti berikut :
1. Nisbah pengasuh dengan kanak-kanak hendaklah mencukupi seperti Jadual berikut;
Umur (tahun) Kanak-kanak biasa Kanak-kanak keperluan khas
0 – 1 1 : 3 2 : 3
1 – 3 1 : 5 2 : 5
3 – 4 1 : 10 3 : 10
2. Pengasuh merupakan warganegara Malaysia dan berumur 18 tahun ke atas;
3. Pengusaha hendaklah hadir dan lulus Kursus Asas asuhan Kanak-kanak (KAAK)/ Kursus Asuhan dan Didikan Awal Kanak-kanak PERMATA (KAP) yang diiktiraf oleh JKM;
4. Pengasuh hendaklah hadir dan lulus KAAK/KAP atau lulus KAP dalam tempoh 12 bulan bekerja;
5. Mematuhi nisbah kanak-kanak dengan ruang lantai iaitu:
- 2.5 meter persegi bagi seorang kanak-kanak di TASKA Rumah; atau
- 3.5 meter persegi bagi seorang kanak-kanak di TASKA Institusi, Tempat Kerja dan Komuniti;
6. Menyedia dan mempamerkan jadual menu makanan yang seimbang dan jadual aktiviti harian mengikut peringkat umur kanak-kanak;
7. TASKA mempunyai kemudahan peralatan dan perabot yang sesuai, selamat dan mencukupi bagi keperluan kanak- kanak;
8. Menyedia dan menyenggara rekod-rekod di TASKA;
9. Menjaga kebersihan dan keselamatan di dalam dan luar premis TASKA;
10. Apa-apa syarat lain yang difikirkan patut dan sesuai oleh Ketua Pengarah atau Pengarah Kebajikan Masyarakat Negeri.
PROSEDUR PERMOHONAN PENDAFTARAN TASKA
- Konsultasi dan permohonan pendaftaran boleh dibuat melalui Pejabat Kebajikan Masyarakat Daerah (PKMD) yang berkenaan.
- Permohonan pendaftaran yang lengkap akan diproses dalam tempoh 14 hari bekerja.
- Bayaran fi pendaftaran dikenakan sebanyak RM50.00 bagi TASKA Di Rumah dan RM250.00 bagi TASKA Institusi; Tempat Kerja dan Komuniti.
- Kelulusan Sijil Perakuan Pendaftaran TASKA akan dikeluarkan oleh Pengarah Kebajikan Masyarakat Negeri (PKMN) yang berkenaan. Sebarang pembetulan terhadap sijil tersebut hendaklah dikemukakan dalam tempoh 14 hari.
- Tempoh sah pendaftaran adalah selama 60 bulan (5 tahun).
- Senarai TASKA berdaftar boleh disemak di laman web www.jkm.gov.my
Borang Permohonan Pendaftaran Taman Asuhan Kanak-Kanak boleh didapati di SINI
TINDAKAN UNDANG-UNDANG YANG BOLEH DIAMBIL
Jika mana-mana TASKA tidak berdaftar atau TASKA yang berdaftar tetapi tidak mematuhi Akta Taman Asuhan Kanak-kanak 1984, Peraturan-Peraturan TASKA (Pengkompaunan Kesalahan) 2011, Peraturan-peraturan Taman Asuhan Kanak-kanak 2012 boleh dikenakan tindakan seperti berikut:- Kompaun maksimum RM5,000.00 bagi setiap kesalahan
- Pembatalan Pendaftaran
- Arahan TASKA ditutup sementara
- Lak (seal)
- Pendakwaan dan jika sabit kesalahan boleh :
- didenda tidak melebihi RM10,000.00 atau dipenjarakan selama tempoh tidak melebihi 2 tahun atau kedua-duanya;
- bagi kesalahan kedua dan berikutnya boleh didenda tidak melebihi RM 20,000.00 atau dipenjarakan selama tempoh tidak melebihi 5 tahun atau kedua-duanya.
Sumber :