TINDAKAN DAN KERJASAMA MAJIKAN SERTA PEKERJA DIPERLUKAN SEGERA
KKM menyambut baik inisiatif Kementerian Perdagangan Antarabangsa dan Industri (MITI) memperkenalkan SOP yang dikenali sebagai Safe@Work bagi mengimbangi kelangsungan operasi perkilangan dengan pengawalan COVID-19 seperti penubuhan pasukan kecemasan COVID-19 oleh pihak syarikat, sanitasi berkala premis, dan memastikan penginapan selesa bagi pekerja. Kepatuhan kepada SOP ini adalah amat penting bagi membantu mengurangkan bilangan kes dan kluster COVID-19 di tempat kerja.
KKM menasihatkan para majikan untuk memastikan langkah-langkah berikut adalah dilaksanakan di tempat kerja:
• Sediakan tempat mencuci tangan atau hand sanitizer;
• Pastikan pekerja-pekerja mengenakan pelitup muka setiap masa;
• Amalkan penjarakkan sosial yang selamat iaitu sekurang-kurangnya 1 meter termasuk di ruang kerja dan di ruang makan;
• Elakkan pekerja-pekerja berkumpul di ruang yang sempit (confined space);
• Elakkan terlalu ramai pekerja bersama pada satu masa (crowded place);
• Amalkan jarak 1 meter semasa bertutur (close conversation);
• Kerap melaksanakan proses nyah kuman dan nyah cemar, terutamanya di ruang guna sama.
Majikan juga disarankan agar sentiasa proaktif dalam memastikan langkah-langkah pencegahan penularan COVID-19 turut diambil dan diikuti oleh pekerja-pekerja di tempat penginapan mereka seperti berikut:
• Elakkan 3C / 3S seperti yang telah disarankan;
• Pastikan katil atau tempat tidur disusun mengikut penjarakan sekurang-kurangya 1 hingga 2 meter antara satu sama lain;
• Elakkan penyediaan makanan secara berkumpulan atau beramai-ramai;
• Elakkan makan beramai-ramai di ruang makan;
• Pastikan tempat tonton TV atau ruang rehat tidak sesak pada masa yang sama;
• Pastikan kebersihan tempat penginapan termasuk tandas dan persekitarannya.
Bagi pekerja-pekerja pula, adalah diingatkan supaya sentiasa mematuhi SOP yang ditetapkan semasa di tempat kerja dengan menjaga keselamatan diri, memakai pelitup muka, tidak bersembang dekat, menjaga kebersihan tempat makan atau fasiliti gunasama, dan memantau gejala, serta memaklumkan kepada majikan dengan kadar segera sekiranya bergejala. Elakkan datang bertugas sekiranya bergejala bagi mengurangkan risiko penyebaran penyakit dan dapatkan pemeriksaan segera.
Kerjasama semua pihak amat diperlukan bagi memastikan tempat kerja dan penginapan pekerja berada dalam keadaan yang kondusif dan selamat untuk digunakan. Ini akan mengurangkan risiko jangkitan COVID-19 dan juga lain-lain jangkitan.
Sumber :
https://m.facebook.com/story.php?story_fbid=4406372432719944&id=578835322140360