PANDUAN PENGIRAAN ZAKAT

BAB 1

PENGENALAN IBADAH ZAKAT

Zakat adalah satu daripada rukun Islam yang lima. Zakat diertikan sebagai “tumbuh dan bertambah”. Ianya juga bererti berkat, bersih, suci, subur dan berkembang maju.


DALIL WAJIB MENGELUARKAN ZAKAT

Firman Allah s.w.t yang bermaksud:

“Dan dirikanlah kamu akan sembahyang serta keluarkanlah zakat dan taatlah kamu kepada Rasul supaya kamu beroleh rahmat”.

(Surah An-Nur: 56)

Firman Allah s.w.t yang bermaksud:

“Ambillah zakat dari harta mereka yang berada bagi membersihkan diri dan harta mereka dan doakan mereka setelah menerimanya”.

(Surah At-Taubah: 103)

Firman Allah s.w.t yang bermaksud:

“Dan di dalam harta benda mereka ada hak untuk yang meminta dan orang yang tidak memperolehi belanja hidupnya”.

(Surah Adz-Dzariat: 19)


Dari ayat-ayat di atas amat jelas tentang kewajipan berzakat dan sesiapa yang mengingkari atau meragui kefardhuannya maka ianya terkeluar dari agama Islam. Sejarah telah membuktikan bahawa Khalifah Abu Bakar telah memerangi orang-orang yang mengingkari membayar zakat. Mereka yang kaya dan berada juga harus menyedari bahawa wujudnya hak orang-orang fakir dan miskin di dalam harta yang mereka miliki.


MAKSUD DAN HIKMAH SYARIAT ZAKAT

Zakat adalah salah satu daripada rukun Islam yang lima. Di antara hikmah dan maksud Allah s.w.t mensyariahkan zakat ialah:-

• Mengagihkan kekayaan dari golongan yang berada kepada golongan yang kurang berada, iaitu sistem sosioekonomi Islam.
• Membersihkan diri membayar zakat.
• Membersihkan dan menyuburkan harta pembayar zakat.
• Mewujudkan sifat bersyukur terhadap nikmat yang dikurniakan oleh Allah s.w.t di kalangan orang yang berada
• Mengurangkan perasaan irihati di kalangan orang yang bernasib baik
• Mewujudkan perhubungan di antara hamba dengan Allah s.w.t di samping perhubungan manusia dengan manusia.
• Memberi peluang kepada golongan hartawan untuk beribadat dalam bentuk mengeluarkan zakat-zakat dari harta mereka.
• Mewujudkan kesatuan di kalangan masyarakat Islam dalam hal ekonomi dan kewangan.
• Memberi masyarakat satu cara mengurus ekonomi dan kewangan yang diredahi oleh Allah s.w.t.
• Melahirkan rasa tenang dan tenteram dalam hati dan jiwa pembayar zakat.


SYARAT-SYARAT UMUM WAJIB MENGELUARKAN ZAKAT

Islam:
~ Zakat hanya diwajibkan ke atas orang-orang Islam sahaja.

Merdeka:
~ Hamba abdi tidak diwajibkan berzakat kecuali zakat fitrah sahaja, namun itupun tuannya dikehendaki mengeluarkannya. Pada masa sekarang persoalan hamba abdi mungkin tidak timbul. Bagaimanapun syarat ini tetap dikekalkan sebagai salah satu syarat wajib mengeluarkan zakat kerana persoalan hamba ini merupakan salah satu syariat yang tetap kekal.

Sempurna Milik:
~ Harta yang dizakatkan hendaklah dimiliki dan dikawal sepenuhnya oleh orang Islam yang merdeka. Bagi harta yang berkongsi antara orang Islam dengan orang bukan Islam, hanya bahagian orang Islam sahaja yang diambilkira di dalam pengiraan zakat.

Cukup Nisab:
~ Nisab ialah nilai paras minimum yng menentukan sesuatu harta itu wajib dikeluarkan zakat atau tidak. Kebnyakkan harta (Mal) menggunakan nilai emas harga semasa sebagai nisab iaitu sebanyak 85 gram atau 20 misqal emas. Nilai emas semasa tersebut dijadikan ukuran nisab untuk pengiraan zakat wang simpanan, emas, saham, pendapatan dan KWSP.


KADAR ZAKAT

Bagi harta yang disandarkan kepada emas. Kadarnya ialah:

2.5% atas harta yang layak dizakat

(tidak termasuk zakat atas binatang ternakan, biji-bijian dan rikaz yang mempunyai kadar zakatnya yang tersendiri).


BAB 2

ZAKAT WANG SIMPANAN

Kebanyakan urusniaga yang dijalankan pada hari ini adalah melibatkan matawang sebagai alat pertukaran. Setiap negara mempunyai nilai matawangnya sendiri yang disandarkan kepada emas.


DALIL WAJIB ZAKAT WANG SIMPANAN

“Saidina Ali telah meriwayatkan bahawa Nabi s.a.w telah bersabda: Apabila kamu mempunyai 200 dirham dan telah cukup haul (genap setahun) diwajibkan zakatnya 5 dirham. Dan tidak diwajibkan mengeluarkan zakat (emas) kecuali kamu mempunyai 20 dinar (salah satu matawang zaman dahulu yang digunakan di Negara Arab). Apabila kamu mempunyai 20 dinar dan telah cukup haulnya diwajibkan zakatnya setengah dinar. Demikian juga kadarnya jika nilainya bertambah, dan tidak diwajibkan zakat dalam sesuatu harta kecuali genap setahun”.
(Hadis Riwayat Abu Daud)

SYARAT WAJIB ZAKAT WANG SIMPANAN

• Islam
• Merdeka
• Sempurna Milik
• Cukup Haul
• Cukup Nisab


KAEDAH PENGIRAAN ZAKAT WANG SIMPANAN

Simpanan tetap:

Apabila suatu simpanan tetap itu telah genap setahun dan jumlahnya melebihi daripada paras nisab (nilai 85 gram emas), maka diwajibkan dikeluarkan zakat sebanyak 2.5% daripada jumlah simpanan tersebut.

Contoh:
Simpanan tetap sebanyak RM40,000 telah disimpan selama setahun tanpa dikeluarkan. (Diandaikan nisabnya ialah RM4,000).

Zakat yang wajib dikeluarkan ialah RM1,000.00 iaitu:-

RM40,000 x 2.5% = RM1,000


Simpanan Biasa:

Ianya adalah dikira berdasarkan kepada jumlah baki terendah sesuatu atau beberapa akaun simpanan dalam tempoh sesuatu tahun. Hendaklah diketahui tempoh kiraan haulnya iaitu bilakah bermula dan berakhirnya haul bagi simpanan tersebut.

Harus dipastikan juga sekiranya di dalam wang simpanan tersebut mengandungi wang faedah bank (yang mengamalkan sistem riba’), maka wang faedah tersebut hendaklah ditolak dari jumlah baki terendah sepanjang tempoh haul tersebut.

Simpanan Dalam Satu Akaun:

Jika sesuatu simpanan itu telah genap setahun dan baki terendahnya (setelah ditolak semua faedah yang ada dalam tempoh tersebut) adalah melebihi paras nisab maka seseorang itu wajib untuk mengeluarkan zakat atas wang simpanannya.

Contoh:
Akaun Simpanan Biasa

Cukup nisab Tarikh Wang Masuk (RM) Wang Keluar (RM) Baki (RM)
01-01-2000 500
14-04-2000 1,000 1,500
29-05-2000 10,000 11,500
18-06-2000 2,400 13,900
06-07-2000 3,000 10,900
24-09-2000 2,000 12,900
13-10-2000 1,500 11,400
30-10-2000 Faedah = 200 11,600
07-02-2001 3,400 8,200
25-04-2001 2,000 10,200
30-05-2001 4,800 15,000


Tempoh haul yang diambilkira ialah mulai 29 Mei 2000 hingga 18 Mei 2001 (iaitu bagi tempoh 354 hari untuk setahun hijrah). Ini kerana baki wang simpanan sebelum 29 Mei 2000 itu belum mencukupi untuk dikirakan zakat iaitu kurang daripada nisab (diandaikan nisab RM4,000).

Zakat yang wajib dikeluarkan ialah (bagi terendah dalam tempoh di atas ditolak faedah bank yang diterima) x 2.5%.

= (RM8,200 – RM200) x 2.5% = RM200

Simpanan Dalam Beberapa Akaun:

Jika seseorang itu mempunyai beberapa akaun simpanan maka baki terendah dari tiap-tiap akaun simpanan tersebut mestilah dicampurkan untuk mengira zakat walaupun mungkin jika dikira satu-satu akaun, baki terendahnya tidak mencukupi nisab.

Contoh:
Akaun Simpanan 1:

Tarikh Wang Masuk Wang Keluar Baki
01-03-2000 8,500 8,500
31-07-2000 2,000 6,500
01-09-2000 500 7,000
31-10-2000 4,500 2,500
20-02-2001 2,000 4,500
03-05-2001 2,000 6,500

Akaun Simpanan 2:

Tarikh Wang Masuk Wang Keluar Baki
01-03-2000 2,000 2,000
06-06-2000 1,000 3,000
07-10-2000 1,500 1,500
06-01-2001 1,000 2,500
04-04-2001 600 3,100


Tempoh haul ialah 1 Mac 2000 hingga 17 Februari 2001 (iaitu tempoh 354 hari mengikut tahun Hijrah).

Di dalam tempoh tersebut, baki terendah dalam akaun 1 ialah RM2,500 iaitu pada 31 Oktober 2000. Baki terendah dalam akaun 2 pula ialah sebanyak RM1,500 iaitu baki pada 7 Oktober 2001.

Dengan ini jumlah campuran baki terendah bagi kedua-dua akaun tersebut ialah RM4,000 dan iaiya adalah melebihi paras nisab (untuk tujuan contoh ini, nisab diandaikan RM4,000).

Oleh itu zakatnya ialah sebanyak:

RM4,000 x 2.5% = RM100



PEMINDAHAN WANG DARI SATU AKAUN KE AKAUN SIMPANAN YANG LAIN

Bagi wang yang dipindahkan dari satu akaun simanan ke satu kaun simpanan yang lain, haulnya tidak terputus, walaupun dengan pemindahan wang itu menyebabkan sesuatu akaun simpanan itu kurang dari nisab.

Contoh:
Akaun Simpanan 1:

Tarikh Wang Masuk Wang Keluar Baki
29-05-2000 10,000 10,000
23-10-2000 9,000 1,000
18-05-2001 1,000


Akaun Simpanan 2:

Tarikh Wang Masuk Wang Keluar Baki
23-10-2000 9,000 9,000
18-05-2001 9,000


Diandaikan pada 23 Oktober 2000, wang sebanyak RM9,000 telah dikeluarkan dari akaun simpanan 1 dan dimasukkan ke dalam akaun simpanan 2.

Haul wang simpanan tersebut tidak terputus iaitu tempoh haulnya tetap 29 Mei 2000 hingga 18 Mei 2001 iaitu berdasarkan kepada tempoh bagi 2 akaun simpanan tersebut.

Maka zakat wajib dikeluarkan sebanyak:

RM10,000 x 2.5% = RM250


LANGKAH-LANGKAH UNTUK MENGIRA ZAKAT WANG SIMPANAN

• Tentukan tarikh bermulanya jumlah simpanan yang mencukupi nisab. Itulah tarikh bermulanya haul.
• Pastikan jumlah simpanan tidak jatuh lebih rendah dari nisab di sepanjang tempoh haul (setahun) tersebut. Sekiranya jumlah simpanan jatuh lebih rendah daripada nisab, maka tunggu permulaan haul apabila jumlah simpanan mencukupi nisab.
• Dapatkan jumkah baki terendah dalam haul tersebut. (Lihat contoh 2A).
• Buat tolakan juka ada wang faedah (riba’) atas sesautu simpanan.
• Bandingkan jumlah simpanan ini dengan nisab di akhir haul. Jika jumlah ini menyamai atau melebihi dari nisab tersebut, maka wajiblah ddikeluarkan zakat sebanyak 2.5% iaitu

Jumlah baki terendah x 2.5%


BAB 3


ZAKAT ATAS WANG SIMPANAN DI KWSP (KUMPULAN WANG SIMPAN PEKERJA)

KWSP adalah caruman wang pekerja dan majikan ke dalam Kumpulan Wang Simpanan Pekerja. KWSP tidak dikenakan zakat kerana tidak cukup syarat wajib zakat iaitu milik sempurna. Ia hanya dikenakan zakat apabila pencarumnya mengeluarkan wang tersebut dari tabung KWSP.


DALIL DAN SYARAT WAJIB ZAKAT ATAS WANG SIMPANAN DI KWSP

Dalil-dalil dan syarat-syarat wajib mengeluarkan zakat ke atas simpanan wang KWSP adalah sama seperti yang dikenakan ke atas zakat wang simpanan.


KAEDAH PENGIRAAN

Terdapat dua kaedah mengira zakat ke atas KWSP iaitu:

1. Zakat KWSP dikeluarkan ketika pencarum mengeluarkan wang tersebut (samada ketika bersara atau belum bersara). Kadarnya 2.5%.

Contoh:
Jika pencarum mengeluarkan wang KWSP sebanyak RM10,000, maka zakatnya adalah
RM250.

2. Zakatnya KWSP dikeluarkan setelah genap 1 haul (354 hari) dari hari pencarum KWSP mengeluarkan wang tersebut. Kadarnya 2.5%

Contoh:
Pencarum mengeluarkan wang KWSP sebanyak RM20,000 pada 1 Januari 2000. Jika wang tersebut masih berbaki RM10,000 selepas 354 hari maka zakatnya adalah RM250.00


BAB 4

ZAKAT EMAS DAN PERAK

Sejarah awal membuktikan emas dan perak sebagai logam yang sangat berguna berdasarkan penggunaannya sebagai matawang serta sebagai nilai harga barangan. Justeru itu, syara’ telah pun menganggap kedua-duanya sebagai kekayaan yang menyuburkan dan telah disyaratkan sebagai wajib zakat sama ada dalam bentuk wang ataupun ketulan yang belum dileburkan. Ini termasuklah dalam bentuk mangkuk barangan seni, patung dan sebagainya.

DALIL WAJIB MENGELUARKAN ZAKAT EMAS DAN PERAK

Firman Allah s.w.t yang bermaksud:

“Dan orang-orang yang menyimpan emas dan perak tidak dibelanjakan pada jalan Allah (tidak mengeluarkan zakat), maka khabarkan kepada mereka dengan balasan azab seksa yang tidak terperi sakitnya (iaitu) pada hari dibakar emas dan perak (dan harta benda itu dalam neraka jahanam lalu diselar dengannya dahi, rusuk serta belakang mereka (sambil dikatakan kepada mereka), inilah apa yang telah kamu simpan untuk diri kamu, oleh itu rasakan (azab dari) apa yang kamu simpan itu”.

(Surah At-Taubah: 34-35)

Sabda Rasulullah s.a.w. yang bermaksud:

“Setiap pemilik emas dan perak yang tidak menunaikan haknya maka pada hari Kiamat dijadikan kepingan lalu dibakar dalam api neraka kemudian diselar rusuk dan belakang mereka, setiap kali kepingan itu menjadi sejuk ia kembali dibakar semula pada hari yang kadarnya bersamaan dengan lima puluh ribu (50,000) tahun sehingga ia dihukum di antara hamba-hamaba Allah maka dilihat jalannya sama ada ke syurga atau ke neraka.

(Hadis Riwayat Abu Hurairah)


SYARAT WAJIB ZAKAT EMAS DAN PERAK

• Islam
• Merdeka
• Sempurna MIlik
• Cukup Haul Setahun
• Cukup Nisab

(Nisab emas ialah 20 misqal atau 85 gram emas. Nisab perak ialah 200 dirham atau 595 gram perak).



KAEDAH PENGIRAAN ZAKAT EMAS

Emas yang disimpan:

Emas yang disimpan bermaksud emas yang tidak dijadikan pakaian. Jika tempoh emas yang disimpan itu menyamai atau melebihi kadar nisab (85 gram), maka wajib dikeluarkan zakat sebanyak 2.5% atas nilai emas sahaja iaitu tidak termasuk batu-batu permata.

Contoh:

Emas yang disimpan bernilai RM4,000 (nilai emas semasa), maka zakatnya ialah sebanyak:

RM4,000 x 2.5% = RM100

Emas yang dipakai:

Emas yang dipakai sebagai perhiasan oleh wanita sama ada sekali-sekala atau secara berterusan tidak dikenakan zakat sekiranya tidak melebihi URUF (nilai pemakaian setempat yang dibenarkan). Sekiranya melebihi uruf maka ianya wajib dikeluarkan zakat sebanyak 2.5% atas nilai yang lebih dari uruf itu. Penggunaan uruf ini banyak digunakan kepada oleh pelbagai golongan khususnya bersandarkan kepada Imam Al-Nawawi yang berpegang kepada Mazhab Asy-Syafie. Bagi negeri Kelantan uruf seseorang itu bergantung kepada pemakaian emas perhiasan yang biasanya dipakai oleh orang Kelantan.


BAB 5

ZAKAT PENDAPATAN

Zakat pendapatan atau gaji telah dilaksanakan sebagai suatu yang penting pada zaman Muawiyah dan Umar bin Abdul Aziz. Ia telah dikenali sebagai “Kasbul Amal”. Tetapi akibat penjajahan dan pengaruh kuasa Barat, system percukaian moden telah mengenepikan system zakat termasuk zakat ke atas gaji. Negeri Kelantan telah mewartakan fatwa bahawa zakat pendapatan adalah diwajibkan pada 16 Mac 1999.


DALIL WAJIB ZAKAT PENDAPATAN

Firman Allah s.w.t yang bermaksud:

“Wahai orang-orang yang beriman! Berzakatlah sebahagian dari hasil usaha kamu yang baik-baik dan sebahagian dari apa yang kami keluarkan dari bumi untuk kamu”.

(Surah Al-Baqarah: 267)

Di dalam ayat di atas, Allah menjelaskan segala ‘hasil usaha yang baik-baik’ wajib dizakatkan, dan bagi mereka yang menjadikan makan gaji itu sebagai satu ‘profesion’ maka ianya juga ternasuk sabagai hasil usaha. Begitu juga Imam Ar-Razi menegaskan dalam konsep “hasil usaha” meliputi semua harta dalam konsep menyeluruh yang dihasilkan oleh kegiatan manusia.

Sabda Rasulullah s.a.w yang bermaksud:

“Menjadi suatu kewajipan ke atas setiap orang Muslim bersedekah (berzakat)”. Mereka bertanya, “Hai Nabi Allah, bagaimana yang tidak mempunyai harta?”. Baginda menjawab, “Berkerjalah untuk mendapat sesuatu untuk dirinya, lalu bersedekah”, Mereka bertanya, “Kalau tidak mempunyai pekerjaan?”. Baginda bersabda, “Tolonglah orang yang meminta pertolongan”. Mereka bertanya lagi, “Kerja ke jalan kebaikan dan tinggalkan kejahatan, hal itu merupakan sedekah”.


SYARAT-SYARAT WAJIB ZAKAT PENDAPATAN

• Islam
• Merdeka
• Sempurna Milik
• Hasil Usaha yang baik sebagai sumber zakat.

(Hasil usaha tersebut termasuklah pendapatan dan elaun tetap (tidak berubah).

Cukup Nisab

Nisab bagi zakat pendapatan adalah berasaskan kepada nilai 85 gram emas harga semasa, memandangkan pendapatan biasanya diterima dalam bentuk matawang yang disndarkan kepada emas.

Cukup haul

Mengikut kaedah umum pengiraan harta-harta zakat maka dalam konteks zakat pendapatan, jangkamasa setahun adalah merupakan jarak masa lagi mempersatukan hasil-hasil pendapatan untuk pengiraan zakat pendapatannya. Dlam hl ini, apa yang lebih penting seharusnya zakat pendapatan ini dilihat dari segi persoalan harta perolehan atau penghasilan dan bukannya persoalan hrta wang simpanan. Ini bersesuaian dengan tuntutan dan roh Islam terhadap kewajipan berzakat.


KAEDAH PENGIRAAN ZAKAT PENDAPATAN

Kaedah A

Zakat dikeluarkan atas jumlah pendapatan kasar yang diperolehi dari senua sumber dalan setahun. Kadar zakatnya ialah sebanyak 2.5%.

Contohnya:
Jumlahnya pendapatan kasar dri semua setahun ialah sebanyak RM33,800 maka zakatnya ialah sebanyak
RM33,800 x 2.5% = RM845

Kaedah B

A) Pendapatan dari semua sumber (setahun)

Gaji 24,000
Elaun Tetap 6,000
----------
Jumlah Pendapatan 30,000

B) Tolak: Perbelanjaan Yang Dibenarkan (setahun)

1. Perbelanjaan Asasi
- Diri 8,000
- Isteri (jika tidak bekerja) 3,000
- Anak-anak (800 x 4 orang) 3,200
2. Pemberian Wajib
- Ibubapa (jika miskin) 2,400
3. Caruman KWSP 2,400
4. Caruman Tabung Haji 600
5. Caruman kepada Institusi/koperasi
yang telah membayar zakat bagi
pihak ahli 1,000
6. Rawatan perubatan 400
----------
Jumlah Tolakan 21,000

C) Pendapatan Bersih Yang Layak Dizakat (A-B)

RM30,000 – RM 21,000 9,000
Nilai melebihi paras nisab,
(contoh: nisab bagi tahun 2003 = RM 3, 625.27)

D) Zakat Yang Wajib diBayar ( C x 2.5%)

RM9,000 x 2.5% 225

Nota kepada pengiraan zakat pendapatan mengikut kaedah B:

A) Jumlah pendapatan pokok dari semua pokok dari semua yang dicampurkan dalam masa setahun.
B) Perbelajaan yang dibenarkan yang dibenarkan tolakan:
- Diri 8,000
- Isteri (3,000 x bilangan isteri) – jika bekerja
- Anak (800 x bilangan anak)
- Ibubapa KWSP, Tabung Haji, Rawatan perubatan dan caruman kepada institusi bayar zakat (jumlah sebenar).

Jumlah perbelanjaan untuk diri, isteri dan anak-anak di atas adalah contoh tolakan yang dibenarkan iaitu pernelanjaan dharuriyat (kadar keperluan hidup yang paling sederhana).


KELEBIHAN MEMBAYAR ZAKAT PENDAPATANN MELALUI SKIM POTONGAN GAJI

Mulai tahun 2001 pihak Lembaga hasil Dalam Negeri (LHDN) telah membenarkan penyelarasan dibuat kepada pembayaran cukai pendapatan secara Potongan Cukai Berjadual (PCB) yang juga membayar zakat kepada pihak Berkuasa Agama Negeri (MAIK) melalui potongan gaji.

Contoh 1

PCB untuk bulan Januari 2003

PCB yang sepatutnya dipotong = RM95.00
Zakat bulanan yang dipotong = RM50.00
Baki PCB yang perlu dipotong = RM40.00

Contoh 2

PCB untuk bulan Januari 2003

PCB yang sepatutnya dipotong = RM50.00
Zakat bulanan yang dipotong = RM50.00
Baki PCB yang perlu dipotong = Tiada

Para pembayar zakat menerusi skim potongan gaji akan menerima penyata bayaran sebanyak dua kali setahun iaitu bulan Januari dan Julai. Penyata tersebut perlu dikepilkan bersama-sama borang taksiran cukai pendapatan (Borang B) bagi tujuan rebet zakat yang dibayar.

Bagi majikan atau individu yang ingin penerangan lanjut mengenai pembayaran zakat melalui skim potongan gaji boleh menghubungi Unit Zakat, Majlis Agama Islam Kelantan di talian 09-7481512 untuk keterangan lanjut.


BAB 6

ZAKAT PERNIAGAAN

Perniagaan atau salah satu usaha yang dikenakan zakat apabila telah cukup syarat-syarat.

DALIL WAJIB ZAKAT PERNIAGAAN

Firman Allah s.w.t yang bermaksud:

“Laki-laki yang tidak dilalaikan oleh perniagaan dan tidak pula oleh jual beli dari menyebut tentang mengingati Allah dan mendirikan solat serta membayar zakat; mereka takutkan kepada suatu hari yang hati penglihatan menjadi goncang (berbalik-balik). (Mereka mengerjakan semua itu) supaya Allah membalas mereka dengan sebaik-baik balasan dari apa yang mereka kerjakan dan supaya Allah menambahkan kurniaNya kepada mereka. Dan Allah memberi rezeki kepada siapa yang dikehendakiNya tanpa batas”.
(Surah An-Nur: 37-38)


SYARAT-SYARAT WAJIB ZAKAT PERNIAGAAN

Islam
- Zakat perniagaan hanya dikenakan ke atas orang yang Islam. Bagi perniagaan yang terdapat pada orang Islam dan bukan Islam, hanya bahagian atau kepentingan orang Islam sahaja dikenakan zakat.

Sempurna Milik
- Bermaksud bahawa saham syarikat atau modal perkongsian tersebut adalah milikan pemilik yang telah ditolak hutang melegihi saham itu.

Niat Untuk Berniaga
- Pemilik perniagaan tersebut mempunyai niat untuk berniaga iaitu untuk mendapatkan keuntungan.

Cukup Nisab
- Jumlah asset yang menjadi asas pengiraan zakat mestilah menyamai atau mlebihi paras nisab. Nisab zakat perniagaan ialah bersamaan dengan nilai 85 gram emas harga semasa.

Cukup Haul
- Tempoh perniagaan berlaku selama genap setahun.


KAEDAH PENGIRAAN ZAKAT PERNIAGAAN

Pengiraan zakat perniagaan adalah berasaskan kepada Lembaran Imbangan tersebut dapat memberi gambaran tentang kedudukan kewangan serta keupayaan dan kemampuan sebenar sesebuah syarikat itu untuk membayar zakat.

Dari Lembaran Imbangan tersebut, formula untuk mengira zakat perniagaan ialah:

(Aset Semasa + Pelabuhan Mudah Tunai)
x peratus pemilikan saham orang Islam
x kadar zakat 2.5%
CONTOH PENGIRAAN ZAKAT PERNIAGAAN

A) Aset Semasa 400,000
B) Campur: Pelaburan Mudah Tunai 100,000
C) Aset Semasa Bersih + Pelaburan 500,000
D) Peratus Saham Muslim (contoh 40%) 40%
E) Aset yang layak dizakat ( C x D %) 200,000
F) Zakat Perniagaan ( E x 2.5 % ) 5,000


BAB 7

ZAKAT DAN CUKAI

Di dalam Akta Cukai Pendapatan 1967, terdapat peruntukan rebet cukai pendapatan individu untuk bayaran zakat (iaitu mula Tahun Taksiran 1985)

AKTA CUKAI PENDAPATAN

“Rebet hendaklah diberikan pada tahun taksiran untuk sebarang bayaran zakat, fitrah atau lain-lain tuntutan agama Islam yang mana pembayaran wajib, dan yang telah dibayar dalam tahun asas bagi tahun taksiran itu, dan dibuktikan oleh resit yang dikeluarkan oleh pihak berkuasa agama yang berkenaan yang ditubuhkan mengikut undang-undang bertulis”.
Akta Cukai Pendapatan 1967 Seksyen 6A(3)


BAYARAN ZAKAT BOLEH MENDAPAT REBET DARI CUKAI PENDAPATAN INDIVIDU

Berpandukan kepada ACP 1967 di atas, setiap bayaran zakat atas individu sama ada zakat harta boleh mendapat rebet atau tolakan daripada cukai pendapatan seseorang. Rebet zakat hanya diperolehi jika bayaran zakat dibuat pada tahun semasa taksiran cukai pendapatan.

Contoh 1:

Cukai Pendapatan individu bagi Tahun Taksiran 2001 1,500

Zakat yang dibayar dalam tahun 2001

Zakat pendapatan 200
Zakat Wang Simpanan 250
Zakat Saham 200
Zakat Emas 50
Qadha Zakat dibayar 300
Jumlah zakat yang dibayar 1,000

Jumlah Cukai Yang Kena Dibayar 500

Sekiranya jumlah bayaran zakat yang dibuat melebihi daripada cukai pendapatan yang dikenakan dalam satu tahun itu, maka setakat jumlah zakat yang mendapat rebet / tolakan adalah setakat jumlah cukai pendapatannya sahaja. Ini bermakna seseorang itu tidak akan dikenakan cukai pendapatan pada tahun tersebut tetapi lebihan zakat setelah ditolak daripada cukai pendapatan itu, tidak boleh dibawa untuk mendapat rebet bagi tahun hadapannya ataupun dikembalikan kepada pembayar.

Contoh 2:

Cukai Pendapatan Individu Bagi Tahun Taksiran 2001 1,500

Zakat yang dibayar dalam tahun 2001

Zakat Pendapatan 400
Zakat Wang Simpanan 300
Zakat Saham 400
Zakat Emas 100
Qadha Zakat 1999 250
Qadha Zakat 2000 200

Jumlah zakat yang dibayar 1,650

Jumlah Cukai Yang Kena Dibayar Tiada

Hanya RM1,500 sahaja daripada jumlah zakat yang dibayar dalam tahun 2001 itu yang boleh mendapat rebet untuk Cukai Pendapatan Tahun Taksiran 2001 manakala lebihan zakat sebanyak RM150 lagi itu tidak boleh dibawa ke hadapan bagi Tahun Taksiran 2002.


TIADA REBET CUKAI ATAS ZAKAT PERNIAGAAN SYARIKAT

Buat masa ini pembayaran zakat perniagaan yang dibuat atas nama syarikat tidak mendapat rebet ke atas cukai Korporat syarikat tersebut.

Perlu diingatkan bahawa zakat perniagaan itu wajib dan hendaklah dibayar kerana Allah dan bukannya kerana sebab-sebab lain. Lazimnya, jumlah zakat perniagaan amat kecil jika dibandingkan dengan kos-kos perniagaan yang lain.


CARA MEMBAYAR ZAKAT

• Membayar di kaunter pejabat Majlis Agama Islam Dan Adat Istiadat Melayu Kelantan
• Membayar melalui potongan gaji menerusi bahagian gaji tempat anda bekerja. Kod potongan gaji kakitangan Kerajaan Persekutuan 4001 dan Kerajaan Negeri 2367. Manakala swasta menerusi majikan masing-masing.
• Membayar menerusi pos (cek, kiriman wang dan bank draf) atas nama Majlis Agama Islam Kelantan
• Membayar di Bank Islam (M) Berhad. (No. Akaun 03-018-000005-0) atas nama Majlis Agama Islam Kelantan. Hantarlah salinan slip bank ke pejabat Majlis Agama Islam Dan Adat Istiadat Melayu Kelantan beserta nama, nombor kad pengenalan dan alamat untuk mendapatkan resit rasmi.

Sumber: MAJLIS AGAMA ISLAM DAN ADAT ISTIADAT MELAYU KELANTAN

LaYaNLaH!!!

1 Comments

  1. Assalamualaikum...
    Saya akan menegeluarkan duit kwsp dlm masa terdekat...boleh ke 2.5% itu diberikan kepada rumah anak yatim yg terdekat? Bkn pd pusat zakat .
    Mohon penjelasan.
    Terima kasih

    ReplyDelete
Previous Post Next Post