YB DR. MASZLEE: ALUMNI SBP BOLEH BANTU MELONJAKKAN KECEMERLANGAN PENDIDIKAN
Kewujudan persatuan alumni Sekolah Berasrama Penuh (SBP) boleh menjadi platform perkongsian dan gerak kerja dalam membantu melonjakkan kecemerlangan SBP di pentas antarabangsa.
YB Menteri Pendidikan, Dr. Maszlee Malik berkata platform ini membolehkan gabungan membantu setiap SBP secara sama rata tidak kira SBP Premier atau baharu.
"Misalnya majlis makan malam sempena perhimpunan alumni SBP ini telah mengumpul dana untuk digunakan bagi meringankan beban anak-anak di SBP dari kalangan kumpulan B40.
"Usaha ini diharap dapat memberi manfaat kepada para murid, pendidik, komuniti dan semua pihak secara amnya," katanya semasa berucap pada Majlis Makan Malam Sempena Perhimpunan Alumni Sekolah Berasrama Penuh 2019 di Bandar Baru Bangi.
Program itu merupakan anjuran Gabungan Persatuan Alumni Sekolah Berasrama Penuh Malaysia (GPASBP) dengan kerjasama Kementerian Pendidikan Malaysia (KPM).
Turut hadir, Pengerusi GPASBP YBrs. Azlan Abdullah; Timbalan Ketua Setiausaha KPM (Perancangan Strategik), YBhg. Dato' Kamel Mohamad dan Timbalan Ketua Pengarah Pelajaran Malaysia (Sektor Dasar dan Pembangunan Pendidikan); YBrs. Dr. Habibah Abdul Rahim.
Pada majlis itu juga telah dilancarkan Tabung Dana B40 Gabungan bagi membantu meringankan beban kewangan anak-anak di SBP dari kalangan keluarga B40.
Sejumlah RM45,000.00 sumbangan awal telah berjaya dikutip pada majlis itu.
Sumber
Tags:
Berita