97 pelajar KVSA bergraduat Sijil Vokasional Malaysia
Majlis Graduasi Kolej Vokasional Shah Alam kali ketiga baru-baru ini menyaksikan seramai 97 graduan, masing-masing 57 daripada program Teknologi Pemesinan Industri dan 40 melibatkan program Teknologi Kimpalan menerima Sijil Vokasional Malaysia.
Majlis yang disempurnakan oleh YBrs Encik Ja’afar Othman, Pengarah Urusan Micro Precision Machining Sdn. Bhd itu turut dihadiri oleh pegawai Bahagian Pendidikan Latihan Teknik dan Vokasional, Kementerian Pendidikan Malaysia, YDP PIBG, Para Pengarah Kolej Vokasional dan Pengetua SMT Zon Tengah, wakil-wakil industri, pensyarah serta ahli keluarga para graduan.
Dalam ucapan perasmiannya YBrs Ja’afar melahirkan rasa bangga dengan Transformasi Pendidikan Teknik dan Vokasional (TVET) pada masa sekarang.
Sebagai bekas pelajar aliran vokasional dari kolej yang sama 25 tahun lalu, beliau menyifatkan usaha murni kerajaan memartabatkan TVET tepat pada masanya seiring dengan Revolusi Peindustrian 4.0.
Beliau turut menyeru masyarakat untuk tidak lagi melabel graduan vokasional sebagai kelas kedua, sebaliknya menerima hakikat bahawa mereka juga golongan profesional yang sama-sama menerajui dan membawa kepada kemajuan negara berstatus negara maju.
Sementara itu, YBrs Norhayati Abdul Rahman Pengarah Kolej Vokasional Shah Alam dalam ucapannya menzahirkan rasa syukur dan bangga dengan kejayaan demi kejayaan yang dikecapi oleh KVSA.
TVET yang menjadi taruhan negara melalui Kementerian Pendidikan Malaysia ternyata memperlihatkan impak besar dalam pembangunan negara.
Penerimaan graduan Kolej Vokasional Shah Alam dapat dilihat melalui kebolehpasaran graduannya iaitu hampir 96 peratus graduan kohort 2014-2018 telah pun bekerja.
Statistik ini memperlihatkan KPI BPLTV iaitu 80 peratus graduan bekerja dalam tempoh enam bulan setelah tamat pengajian tercapai.
Beliau turut menyentuh kejayaan KVSA meraih pelbagai kemenangan dalam tempoh tiga tahun kebelakangan dalam aktiviti di peringkat daerah, negeri dan juga zon tengah, di samping banyak memorandum persefahaman yang ditandatangani.
Nur Ilya Shukri, pelajar program Teknologi Kimpalan menerima Anugerah Pelajar Terbaik Program manakala Hazim Faizi Nor Azman menerima anugerah yang sama bagi program Teknologi Pemesinan Industri.
Hazim Faizi turut dinobatkan sebagai penerima Anugerah Pelajar Terbaik Keseluruhan Sijil Vokasional Malaysia kolej berkenaan. Masing-masing menerima sijil penghargaan, plak dan wang tunai sumbangan Crescent Gear Solution Sdn. Bhd.
Sumber
Tags:
Berita