MoU KERJASAMA IPG DENGAN UNIVERSITI TEMPATAN

MoU KERJASAMA INSTITUT PENDIDIKAN GURU DENGAN UNIVERSITI TEMPATAN


Satu Majlis Menandatangani Memorandum Persefahaman (MoU) dan Nota Kerjasama antara Kementerian Pendidikan Malaysia (KPM) dengan universiti dan agensi telah diadakan di Institut Pendidikan Guru (IPG) Pendidikan Teknik Bandar Enstek, Nilai Negeri Sembilan, semalam.

Majlis Menandatangani MoU dan Nota Kerjasama telah disempurnakan oleh YBhg. Dato’ Kamel Mohamad, Timbalan Ketua Setiausaha (Perancangan Strategik) mewakili Ketua Setiausaha KPM.

IPG dan universiti bakal menjalinkan kerjasama dalam bidang penyelidikan, penerbitan, penulisan, latihan, kumpulan pemikir dan konsultasi dalam tempoh lima tahun untuk hasrat menjadikan IPG sebagai institusi latihan guru bertaraf dunia sejajar dengan hasrat KPM ke arah mentransformasi IPG.

YBhg. Dato’ Kamel berkata “kerjasama antara IPG dengan universiti dan agensi luar merupakan wadah penting dalam usaha melahirkan bakal guru yang mampu mendepani setiap cabaran terutama dalam zaman Revolusi Industri 4.0."

"Justeru, usaha ini merupakan langkah permulaan kepada IPG untuk mengorak langkah bersama universiti dan agensi untuk membantu pelajar menerokai pelbagai bidang ilmu yang bersifat dinamik," kata beliau.

Sebanyak 15 MoU dan Nota Kerjasama telah dimeterai dengan universiti dan agensi. Antara kerjasama yang bakal dijalin ialah kerjasama dalam bidang Sains dan Teknologi (STEM), Technical and Vocational Education Traning (TVET), bidang ijazah lanjutan dan penyelidikan serta latihan.

YBhg. Dato’ Amir Omar, Ketua Setiausaha Kementerian Sumber Manusia; YBhg. Dato’ Sulaiman Wak, Timbalan Ketua Pengarah Pelajaran Malaysia (Pembangunan Profesionalisme Keguruan); YBrs. Dr. Rusmini Ku Ahmad, Rektor Institut Pendidikan Guru Malaysia turut hadir.


Post a Comment

Previous Post Next Post