Ringkasan Tugas Perkhidmatan Perubatan dan Kesihatan (U)

Senarai Ringkasan Tugas Perkhidmatan Perubatan dan Kesihatan di dalam Skim Perkhidmatan Gred U



1.    Pengajar

    Bertanggungjawab melaksanakan aktiviti-aktiviti perancangan, penyediaan dan pengurusan latihan tenaga manusia bagi kumpulan paramedik dan auksiliari yang lengkap dan berkesan supaya bekalan tenaga manusia bagi kumpulan paramedik dan auksiliari adalah mencukupi, berkelayakan dan berkualiti untuk menampung keperluan di sektor awam pada masa sekarang dan akan datang.

2.    Pegawai Optometri

    Bertanggungjawab menjalankan pemeriksaan mata untuk mengesan anomali fungsi penglihatan, merawat dan mengendalikan anomali tersebut menggunakan cermin mata, kanta sentuh, prisma, terapi visual dan low vision devices di samping menjadi perunding dalam masalah penglihatan warna secara profesional di dalam industri, pemanduan jalan raya serta memberi khidmat nasihat bagi memenuhi keperluan dan harapan stakeholders.

3.    Pegawai Dietetik

    Bertanggungjawab melaksanakan tugas berkaitan pengurusan dan pemantauan perkhidmatan klinikal dietetik dan komuniti, perancangan dan penyediaan makanan berzat dan sesuai berdasarkan Hospital Diet Manual, khidmat nasihat kepada pesakit yang memerlukan diet teraputik, merancang dan melaksanakan aktiviti latihan dan penyelidikan berkaitan.

4.    Pegawai Farmasi

    Bertanggungjawab berkhidmat di hospital kerajaan dengan menjalankan aktiviti-aktiviti pengurusan farmasi termasuk perolehan, bekalan, pendispensan produk-produk farmaseutikal dan farmasi klinikal.


    Menjalankan aktiviti-aktiviti penguatkuasa undang-undang farmasi termasuk urusan pentadbiran atau terlibat dengan pengawalan farmaseutikal kebangsaan dengan menjalankan aktiviti-aktiviti regulatori iaitu menganalisis kandungan bahan-bahan ubat, kosmetik dan ubat tradisional dan pendaftarannya serta aktiviti perlesenan.

5.    Pegawai Pergigian

    Bertanggungjawab meningkatkan taraf kesihatan dan kualiti hidup masyarakat melalui rawatan dan aktiviti pencegahan kesihatan pergigian.

6.    Pegawai Pemulihan Perubatan

    Bertanggungjawab dalam aspek perawatan pemulihan pesakit dalam bidang pengkhususan berkaitan dan membuat penilaian, perancangan dan pengurusan program rehabilitasi terhadap pesakit-pesakit.

7.    Pegawai Perubatan

    Bertanggungjawab memeriksa dan merawat pesakit, menguruskan rawatan dan pemeriksaan ibu-ibu mengandung serta menyambut kelahiran bayi, menjalankan pemeriksaan mayat, menyediakan laporan, menjalankan tugas-tugas on call dan menyampaikan ceramah-ceramah.

8.    Jurupulih Perubatan

    Bertanggungjawab menilai dan mengenal pasti masalah pesakit dengan terperinci berlandaskan clinical reasoning dan kefahaman fisiologi serta manifestasi penyakit dan kecederaan. Menganalisa keutamaan masalah yang dihadapi.


    Menjalankan rawatan dengan menggunakan berbagai intervensi generic. Merancang, membentuk dan melaksanakan program promosi kesihatan dalam aspek berkaitan dan relevan dengan fisioterapi.


    Merancang dan melaksanakan aktiviti pencegahan bagi mengelak komplikasi berkaitan dengan kecederaan, penyakit dan peningkatan umur.


    Merancang dan melaksanakan program rehabilitasi untuk mengembalikan pergerakan dan kefungsian diri ke tahap maksima berdasarkan evidence based practice dan teknologi semasa.


    Merancang dan melaksanakan program bagi mengembangkan skop perkhidmatan fisioterapi merangkumi aktiviti/ program latihan dan penyelidikan.

9.    Penolong Pegawai Farmasi

    Bertanggungjawab memastikan kebersihan gedung ubat, khasnya di kaunter gedung ubat, kebersihan gelas-gelas sukatan dan semua alatan. Memeriksa dan memenuhi semua botol-botol bancuhan yang kosong, pil-pil dan losen untuk penyediaan perkhidmatan.


    Pembahagian ubatan kepada pesakit dan memberi keterangan yang betul atas kegunaan ubat yang diberikan dengan bahasa yang difahami oleh pesakit.


    Membantu di dalam menyediakan stok-stok yang banyak seperti butir-butir campuran, losen, ointments dan membotolkan dengan segera untuk pembahagian.

10.    Juruteknologi Makmal Perubatan

    Bertanggungjawab menjalankan pendiagnosan sampel-sampel darah, urin, bendalir badan secara profesional, mengesahkan keputusan ujian, mengeluarkan serta menyediakan laporan ujian yang berkualiti, tepat, cepat boleh dipercayai serta memberi khidmat nasihat memenuhi keperluan dan harapan stakeholders.

11.    Juruteknologi Pergigian

    Bertanggungjawab untuk memberi perkhidmatan pergigian yang spesifik bagi memulihkan fungsi mulut. Membuat prostesis pergigian bagi meningkatkan aspek fonetik dan estetik untuk meningkatkan keyakinan pesakit dan kualiti diri.

12.    Juruterapi Pergigian

    Bertanggungjawab melaksanakan perkhidmatan pergigian dari segi diagnosis, rawatan, pencegahan dan peningkatan kesihatan untuk kanak-kanak berumur 17 tahun ke bawah dengan memberi tumpuan kepada kanak-kanak pra-sekolah, murid sekolah rendah dan menengah di seluruh negara. Bertanggungjawab memberi perkhidmatan pergigian yang spesifik untuk mencapai matlamat supaya masyarakat mempunyai kesihatan mulut yang optimum.

13.    Pembantu Pembedahan Pergigian

    Bertanggungjawab sebagai salah seorang ahli kesihatan pergigian yang memainkan peranan dalam pengendalian klinikal pesakit, pendidikan kesihatan pergigian, pengurusan pesakit dan pentadbiran.

14.    Pembantu Kesihatan Awam

    Bertanggungjawab melaksanakan kerja-kerja pengawalan dan pencegahan di dalam program kebersihan alam sekeliling, kebersihan dan keselamatan makanan serta kawalan penyakit berjangkit yang berkaitan dengan tugasnya dengan menggunakan kaedah/ pendekatan kesihatan primer (Control and Prevention & Primary Health Care Approach).

15.    Juruteknik Perubatan

    Bertanggungjawab membantu Pegawai Sains (Fizik) dalam menyediakan aksesori rawatan seperti blok sinaran, topeng cegah gerak, leg rest, dental mould, aksesori tray untuk linac, aksesori peralatan QC serta pengumpulan data bagi tujuan rawatan pesakit.

16.    Jururawat Masyarakat

    Bertanggungjawab sebagai pekerja kesihatan yang menjalankan pelbagai tugas dan merupakan ahli pasukan kesihatan yang berkhidmat secara terus kepada masyarakat.

17.    Pembantu Perawatan Kesihatan

    Bertanggungjawab membantu melaksanakan tugas-tugas asas berkaitan penjagaan pesakit, penyediaan peralatan, mengambil dan merekod data pesakit dan tugas-tugas lain yang seumpamanya.

18.    Penolong Pegawai Perubatan

    Bertanggungjawab memberi perkhidmatan kesihatan kepada masyarakat dari aspek kuratif, preventif pencegahan, promosi dan pemulihan dalam sistem perkhidmatan kesihatan di Malaysia. Memberi rawatan kuratif, preventif pencegahan serta perkhidmatan bantuan kecemasan di pusat-pusat kesihatan termasuk Dispensari Statik dan Bergerak, Jabatan Pesakit Luar Kesihatan Am dan Jabatan Kemalangan dan Kecemasan. Memberi rawatan awal dan segera serta sokongan bagi semua kes kecemasan dan merujukkan kes-kes berkenaan untuk pengendalian selanjutnya kepada pegawai perubatan, memberi perkhidmatan bantuan di pelbagai Jabatan Kepakaran, institusi-institusi wad dan program-program lain.

19.    Penolong Pegawai Kesihatan Persekitaran/Pegawai Kesihatan Persekitaran

    Bertanggungjawab melaksanakan tugas dalam aspek pengurusan, perancangan, pengawalan, pencegahan, perundangan dan penguatkuasaan undang-undang berkaitan aktiviti-aktiviti kesihatan awam dan kesihatan persekitaran iaitu kawalan penyakit, keselamatan dan kualiti makanan, bekalan air dan kebersihan alam sekeliling (BAKAS), kawalan mutu air minuman (KMAM), kesihatan pintu masuk (lapangan terbang, pelabuhan dan darat).

20.    Juru X-Ray

    Bertanggungjawab menghasilkan imej perubatan untuk membantu pakar dan Pegawai Perubatan dalam mendiagnos penyakit, menilai imej dan radiografi yang dihasilkan, menguruskan hal-hal berkaitan permohonan pemeriksaan radiografi, bertanggungjawab terhadap penjagaan dan kawalan mutu peralatan yang digunakan serta tugas-tugas perancangan, pengurusan, latihan dan penyelidikan bagi meningkat dan mengawal mutu perkhidmatan Juru X-Ray.

21.    Jururawat

    Bertanggungjawab melaksanakan tugas perawatan dan penjagaan pesakit, pendidikan dan promosi kesihatan, pengawalan dan keselamatan pesakit, peralatan dan ubat-ubatan yang digunakan serta tugas-tugas pengurusan, perancangan, latihan dan penyelidikan bagi meningkat dan mengawal mutu perkhidmatan kejururawatan.

Post a Comment

Previous Post Next Post