Ringkasan Tugas Perkhidmatan Kejuruteraan (J)

Senarai Ringkasan Tugas Perkhidmatan Kejuruteraan di dalam Skim Perkhidmatan Gred J


1.    Pembantu Pegawai Latihan Vokasional/ Penolong Pegawai Latihan Vokasional/ Pegawai Latihan Vokasional

    Pembantu Pegawai Latihan bertanggungjawab melaksanakan tugas-tugas berkaitan latihan kemahiran, mengenal pasti dan menghasilkan produk dan perkhidmatan, merancang dan menjalankan aktiviti promosi bagi meningkatkan jualan produk dan perkhidmatan, menjalankan penyelidikan (R&D) bagi pembangunan latihan kemahiran dan pembangunan produk/ perkhidmatan dan membantu melaksanakan tugas-tugas yang berkaitan dengan tugas mengajar, pengendalian latihan vokasional, pengendalian kemudahan latihan, tatacara dan program keselamatan dan kebersihan, pengendalian pelajar dan kemahiran penyeliaan.


    Penolong Pegawai Latihan bertanggungjawab mengajar teori dan amali kepada pelajar-pelajar mengikut standard dari jabatan Pembangunan Kemahiran, Suruhanjaya Tenaga dan Jabatan Kesihatan dan Keselamatan Pekerja dan bertanggungjawab melaksanakan tugas-tugas yang berkaitan dengan pembangunan kurikulum latihan, pengurusan latihan vokasional, penyelenggaraan kemudahan latihan, hal ehwal pelajar dan kaunseling, panduan keselamatan dan kebersihan, kemahiran dan penyeliaan.


    Pegawai Latihan Vokasional bertanggungjawab ke atas pelaksanaan latihan pembangunan prasarana kemahiran, penyelidikan dan pembangunan penilaian kekompetenan, khidmat nasihat dan perundingan, pembangunan kepakaran, pembangunan kurikulum latihan kemahiran dan pengurusan.

2.    Pelukis Pelan (Kejuruteraan Awam)/ Penolong Jurutera

    Bertanggungjawab melaksanakan penyediaan lukisan teknikal dan spesifikasi, menyemak lukisan perunding, merekod dan menyelenggara lukisan, menyediakan lukisan kerja, lukisan perunding dan menyediakan laporan serta lain-lain tugas yang berkaitan. Bertanggungjawab mengendalikan pelaksanaan projek bagi skop kerja kejuruteraan antaranya kejuruteraan awam, mekanikal dan elektrik iaitu mengumpul maklumat untuk penyediaan reka bentuk, menyedia dan menyemak lukisan kejuruteraan, merekod inventori, mengawas tapak projek, menyelia pelaksanaan kerja pengawasan pembinaan di tapak projek, menyediakan laporan kemajuan projek, membantu kerja-kerja perundingan dan penyediaan sebut harga dan tender, menjalankan kerja penyenggaraan bangunan dan workshop, melaksanakan kerja-kerja kawalan, pengujian, penyenggaraan berkala peralatan elektrik, merancang dan menyusun aktiviti bagi mengawal selia sistem pengairan dan saliran serta menjalankan tugas-tugas yang berkaitan.

3.    Pelukis Pelan (Seni Bina)/ Penolong Pegawai Seni Bina

    Bertanggungjawab mengendalikan pelaksanaan bagi skop kerja seni bina termasuk melaksanakan penyediaan lukisan teknikal dan spesifikasi, menyemak lukisan perunding, merekod dan menyelenggara lukisan, menyediakan study model, menyediakan reka bentuk, menyedia lakaran reka bentuk, menyediakan lukisan kerja, lukisan perunding, memantau maklum balas penilaian teknikal, melaksanakan audit kualiti (reka bentuk)/audit seni bina pembinaan dan menyediakan laporan serta lain-lain tugas yang berkaitan tugas-tugas berkaitan aspek reka bentuk dan seni bina. Bertanggungjawab ke atas Permohonan Kebenaran Merancang Bagi Pendirian Bangunan, Permohonan Pelan Susun Atur, Permohonan Kelulusan Landskap, Permohonan Pemasangan Papan Tanda Bangunan Komersial dan Bangunan Pejabat Kerajaan. Menyelaras pengeluaran surat sokongan Perakuan Kelayakan Menduduki Bangunan (CF), Permohonan Ubahsuai Bangunan, reka bentuk ruang pameran dan bahan-bahan pameran, ulasan cadangan pencahayaan bangunan dan ulasan cadangan reka bentuk dalaman bagi bangunan-bangunan di bawah penyeliaan jabatan serta lain-lain tugas yang berkaitan.

4.    Penolong Pegawai Perancang Bandar dan Desa

    Bertanggungjawab menyelaras Kajian Rancangan Struktur Perbandaran, Kajian Bandar Selamat, Kajian Petunjuk Bandar Sejahtera (MURNInet), penyelidikan dan lain-lain kajian-kajian perancangan, melaksanakan e-Pemajuan Bahagian Perancangan Bandar khasnya dalam semakan permohonan kebenaran merancang bagi perbandaran secara on-line, pembangunan pangkalan data GIS untuk data-data perancangan serta pengumpulan maklumat-maklumat kemajuan perancangan dan pembangunan bandar.

5.    Penolong Jurutera

    Bertanggungjawab membantu Jurutera merancang dan menyelaras pembangunan sistem pengairan, bekalan air, khidmat kejuruteraan awam, aktiviti peningkatan mutu perkhidmatan kejuruteraan awam, projek-projek khas dan urusan pentadbiran am pejabat.

6.    Penolong Pegawai Senibina

    Bertanggungjawab menjalankan tugas-tugas di Unit Pusat Setempat (OSC) termasuk penerimaan dan pemantauan status permohonan serta menjalankan tugas-tugas urus setia OSC. Menyelaras dan menyelia ulasan berkaitan aspek reka bentuk bandar dan seni bina ke atas permohonan kebenaran merancang bagi pendirian bangunan, pelan susun atur, kelulusan landskap, pemasangan papan tanda bangunan komersial dan bangunan pejabat kerajaan. Menyelaras pengeluaran surat sokongan Perakuan Kelayakan Menduduki Bangunan (CF), menyelaras ulasan permohonan ubahsuai bangunan, menyelaras reka bentuk ruang pameran dan bahan-bahan pameran, menyelaras ulasan cadangan pencahayaan bangunan dan menyelaras ulasan cadangan reka bentuk dalaman bagi bangunan-bangunan di bawah penyeliaan jabatan.

7.    Penolong Juruukur Bahan

    Bertanggungjawab membantu Juruukur Bahan memberi perkhidmatan dalam kerja-kerja pakar ukur bahan di peringkat pra dan pos kontrak, memberikan khidmat nasihat dan runding cara kos pembinaan, menjalankan pembangunan dan penyelidikan berkaitan dasar mengenai tender dan kontrak kerajaan serta memberi khidmat keurusetiaan tender, kontrak dan pelantikan perunding ikhtisas.

8.    Penolong Arkitek Landskap

    Bertanggungjawab melaksanakan tugas-tugas berkaitan pengurusan, perancangan, pemantauan, penyeliaan, khidmat teknikal, pengumpulan maklumat dan penguatkuasaan berkaitan projek pembangunan dan industri landskap.

9.    Penolong Juruukur Bangunan

    Bertanggungjawab melaksanakan kerja-kerja lapangan di tapak bagi kerja-kerja kawalan bangunan yang merangkumi keperluan perundangan bangunan (building statutory requirements), penyelenggaraan bangunan dan fasiliti, audit bangunan (building condition survey), audit ruang (space audit), mentaksir risiko bangunan (risk assessment), pengurusan ruang, dan pengekalan dan pemuliharaan bangunan. Turut bertanggungjawab membantu dalam kerja-kerja kawal selia bangunan bermasalah dan projek terbengkalai yang merangkumi pemantauan keadaan bangunan dan projek terbengkalai di kawasan Majlis Perbandaran mengikut peruntukan undang-undang.

10.    Penolong Pemeriksa Kilang dan Jentera

    Bertanggungjawab menguatkuasakan Akta Kilang dan Jentera 1967, Akta Keselamatan dan Kesihatan Pekerjaan 1994 serta peraturan-peraturan yang dibuat di bawahnya, menjalankan promosi berkaitan dengan keselamatan dan kesihatan pekerjaan dan menyediakan standard pematuhan dan pelaksanaan kepada akta yang dikuatkuasakan.

11.    Penolong Juruukur

    Bertanggungjawab melaksanakan kerja-kerja ukuran tapak projek perumahan yang dikendalikan oleh CPPP/ PIMB dan tapak-tapak projek jabatan lain di bawah KPKT termasuk kerja-kerja ukuran as-built, semakan aras, semakan butiran, semakan keluasan dan pengesahan sempadan tapak termasuk menguruskan cadangan pelantikan perunding ukur tanah dan membantu dalam urusan pentadbiran tanah.

12.    Pelukis Pelan

    Bertanggungjawab melukis, menyurih pelbagai pelan berkaitan lukisan arkitek, rangka bina, perspektif, rajah pembentukan besi, keratan rentas, kontur dan lain-lain berkaitan.

13.    Merinyu Tali Air

    Bertanggungjawab menyelaras dan memantau operasi bekalan air di jajahan/ daerah kawasan. Bertanggungjawab membantu menyelaras kerja-kerja penguatkuasaan. memantau dan menyiasat kes pelaku kesalahan di bawah Akta Kanun Tanah Negara dan Ordinan Pengairan 1953. Memantau pengurusan dan pengendalian sumber air serta membantu menguruskan agar pengendalian sumber air membolehkan penanaman padi dilakukan dua (2) kali setahun di dalam Kawasan Muda/ lain-lain kawasan.

14.    Pembantu Pemeriksa Kilang dan Jentera

    Bertanggungjawab menguatkuasakan Akta Kilang dan Jentera 1967, Akta Keselamatan dan Kesihatan Pekerjaan 1994 serta peraturan-peraturan yang dibuat di bawahnya, menjalankan promosi berkaitan dengan keselamatan dan kesihatan pekerjaan dan menyediakan standard pematuhan dan pelaksanaan kepada akta yang dikuatkuasakan.

15.    Penguasa Bekalan Air

    Bertanggungjawab menyelaras dan merangka kerja-kerja penyelenggaraan loji terutamanya semua komponen yang melibatkan Intake (punca air mentah), tangki flokulasi, tangki sedimentasi, penapis, tangki air bersih dan sistem penyimpanan air bersih.

16.    Penjaga Jentera Elektrik

    Bertanggungjawab melaksanakan skop tugas penyenggaraan dan operasi ke atas sistem pepasangan elektrik dengan memastikan tatacara/prosedur keselamatan adalah sentiasa dipatuhi bagi memenuhi keperluan Akta Bekalan Elektrik 1990 dan Peraturan-Peraturan Elektrik 1994.

17.    Arkitek Landskap

    Bertanggungjawab merancang, menyedia, menyelaras dan melaksanakan taman-taman awam dan kemudahan rekreasi serta landskap di seluruh negara dan memastikan ianya direkabentuk dan dibina dengan baik, praktikal dan selamat. Menyediakan dasar, akta, garis panduan dan maklumat perancangan, pembinaan dan pengurusan landskap. Menyelaras perancangan program pembangunan landskap dengan menggunakan perkhidmatan sokongan sistem maklumat dan komputerisasi yang bersesuaian dan mudah sampaian maklumat. Memastikan pembangunan landskap menepati piawaian, garis panduan dan spesifikasi yang ditetapkan. Menyediakan khidmat nasihat perancangan dan teknikal pembangunan landskap yang profesional dan manual penyelenggaraan landskap yang efisien bagi setiap projek pembangunan landskap yang disediakan. Menyediakan perancangan untuk membangun dan mengemas kini program pemuliharaan landskap yang bertujuan untuk mengekal, memulihara dan memperkayakan sumber jaya landskap negara.

18.    Arkitek

    Bertanggungjawab mengurus pelaksanaan projek-projek pembangunan kerajaan bermula dari perancangan sehingga penyerahan projek. Menyelaras penyediaan reka bentuk, lukisan dan dokumen tawaran dan penyerahan projek. Memantau pelaksanaan fizikal dan kewangan projek dalam pembinaan dan memastikan projek disiapkan berkualiti, menepati kos dan tempoh masa yang dirancang serta memenuhi keperluan dan harapan stakeholders.

19.    Juruukur Bangunan

    Bertanggungjawab menjalankan kerja-kerja kawalan bangunan yang merangkumi keperluan perundangan bangunan (building statutory requirements), penyelenggaraan bangunan dan fasiliti, ukur kondisi bangunan (building condition survey), mentaksir risiko bangunan (risk assessment) dan pengekalan dan pemuliharaan bangunan.

20.    Jurugeospatial

    Bertanggungjawab dalam penyediaan reka bentuk peta elektronik, peta tematik serta peta topografi terhad dan tidak terhad yang diperlukan oleh kerajaan dan awam bagi tujuan pertahanan, pembangunan negara, pengurusan sumber, pendidikan dan pentadbiran.

21.    Pegawai Perancang Bandar dan Desa

    Bertanggungjawab menyelaras Kajian Rancangan Struktur Perbandaran, Kajian Bandar Selamat, Kajian Petunjuk Bandar Sejahtera (MURNInet), penyelidikan dan kajian-kajian perancangan lain, melaksanakan e-Pemajuan Bahagian Perancangan Bandar, pembangunan pangkalan data GIS untuk data-data perancangan serta pengumpulan maklumat-maklumat kemajuan perancangan dan pembangunan perbandaran, mengawal pembangunan agar bersifat seragam, selesa dan selamat dalam aktiviti guna tanah, penyediaan susun atur, reka bentuk kemudahan awam yang berkualiti dan berkesan serta mewujudkan persekitaran yang selesa untuk masyarakat.

22.    Jurutera

    Bertanggungjawab merancang dan menyelaras pembangunan sistem pengairan, bekalan air, khidmat kejuruteraan awam, aktiviti peningkatan mutu perkhidmatan kejuruteraan awam, projek-projek khas dan urusan pentadbiran am pejabat.

23.    Pemeriksa Kilang dan Jentera

    Bertanggungjawab menguatkuasakan tiga (3) akta yang utama iaitu Akta Kilang Dan Jentera (AKJ) 1967, Akta Keselamatan Dan Kesihatan Pekerjaan (AKKP) 1994 dan Akta Petroleum (Langkah-Langkah Keselamatan) 1984 Dan Peraturan Pengangkutan Bahan Petroleum Melalui Talian Paip 1985, menjalankan promosi berkaitan dengan keselamatan dan kesihatan pekerjaan dan menyediakan standard pematuhan dan pelaksanaan kepada akta yang dikuatkuasakan di sepuluh (10) sektor ekonomi atau semua tempat kerja.

24.    Juruukur Bahan

    Bertanggungjawab memberi perkhidmatan dalam kerja-kerja pakar ukur bahan di peringkat pra dan pos kontrak, memberikan khidmat nasihat dan runding cara kos pembinaan, menjalankan pembangunan dan penyelidikan berkaitan dasar mengenai tender dan kontrak kerajaan serta memberi khidmat keurusetiaan tender, kontrak dan pelantikan perunding ikhtisas.

25.    Juruukur

    Bertanggungjawab melaksanakan kerja-kerja ukur di dalam bidang pemetaan topografi, geodetik, pengukuran pemetaan utiliti dan kadaster yang meliputi ukuran tarabas kawalan piawai, ukuran kawalan, ukuran dinding duatuan, ukuran pengambilan balik tanah, ukuran kawasan bandar dan luar bandar, gelanggang sukan, ukuran siasatan berkejituan tinggi, sempadan antara negeri dan antarabangsa.

Post a Comment

Previous Post Next Post