Senarai Ringkasan Tugas Perkhidmatan Keselamatan dan Pertahanan Awam di dalam Skim Perkhidmatan Gred K
1. Penolong Pegawai Pendaftaran/Pegawai Pendaftaran
Penolong Pegawai Pendaftaran bertanggungjawab mengatur dan menyelia pelaksanaan dan penguatkuasaan undang-undang yang ditadbir oleh Jabatan Pendaftaran Negara. Mengatur dan menyelia urusan permohonan kad pengenalan, permohonan daftar lewat kad pengenalan, urusan pindaan butiran kad pengenalan dan urusan rekod/ daftar kad pengenalan. Mengatur dan menyelia urusan permohonan pendaftaran kelahiran, daftar lewat kelahiran, urusan permohonan pendaftaran kematian, daftar lewat kematian, permohonan pendaftaran anak angkat, urusan pindaan butiran kelahiran, kematian dan anak angkat serta urusan rekod kelahiran, kematian dan anak angkat. Mengatur dan menyelia urusan permohonan kewarganegaraan, permohonan pengesahan taraf kewarganegaraan, perlucutan kewarganegaraan, permohonan perlepasan kewarganegaraan dan urusan rekod kewarganegaraan. Mengatur dan menyelia urusan permohonan perkahwinan, urusan perkahwinan, urusan pendaftaran perceraian, urusan pindaan butiran perkahwinan dan perceraian serta urusan rekod perkahwinan dan perceraian. Melaksanakan urusan penyiasatan, pendakwaan, perisikan, operasi dan urusan sistem kawalan keselamatan.
Pegawai Pendaftaran bertanggungjawab menjadi sumber rujukan dalam urusan pendaftaran dan pindaan butiran kad pengenalan, pengurusan rekod kelahiran, kematian dan anak angkat, urusan kewarganegaraan, urusan pengurusan rekod perkahwinan dan perceraian, urusan siasatan dan penguatkuasaan.
2. Penolong Penguasa Imigresen/Penguasa Imigresen
Penolong Penguasa Imigresen bertanggungjawab terhadap pengawasan tugas-tugas operasi, disiplin pegawai dan urusan pentadbiran pejabat.
Penguasa Imigresen bertanggungjawab dalam melaksanakan tugas-tugas pengurusan kewangan dan personel, pentadbiran, pemantauan dan mengawal selia aktiviti-aktiviti yang melibatkan aspek operasi, penguatkuasaan, pencegahan dan keselamatan negara, merangka dan menjalankan program latihan, menguruskan penyelidikan, perancangan dan pembangunan.
3. Penolong Penguasa Penjara
Bertanggungjawab membantu melaksanakan tugas-tugas pengurusan am, pentadbiran, kewangan, penyelidikan, perancangan, pembangunan, latihan dan keselamatan institusi-institusi penjara.
4. Penolong Pegawai Keselamatan
Bertanggungjawab memberi khidmat nasihat, memantau dan menguatkuasakan undang-undang, peraturan serta arahan mengenai keselamatan perlindungan kepada agensi kerajaan dan Sasaran Penting serta Kawasan Larangan dan Tempat Larangan termasuk sektor swasta yang berkaitan untuk mengekal dan mempertingkatkan tahap keselamatan fizikal, dokumen, peribadi, keselamatan perlindungan ICT dengan tujuan melindungi aset dan rahsia rasmi daripada pelbagai bentuk ancaman keselamatan.
5. Penolong Pegawai Pertahanan Awam
Bertanggungjawab dalam aspek pentadbiran dan perancangan bagi peringkat negeri pada keseluruhan dalam semua aspek pertahanan awam iaitu latihan dan gerakan. Menyelia dan mengkoordinasi tugas-tugas dan tanggungjawab pegawai-pegawai latihan dan ketua-ketua cawangan.
6. Penolong Penguasa Bomba
Bertanggungjawab mengawal selia pengurusan balai bomba, personel, mengetuai tugas-tugas operasi dan pentadbiran pemadaman kebakaran dan penyelamatan, mengurus dan menjalankan pelaksanaan program pencegahan dan keselamatan kebakaran, penguatkuasaan dan latihan.
7. Pegawai Bomba
Bertanggungjawab melaksanakan kerja-kerja operasi pemadaman dan penyelamatan, penyelenggaraan harian dan pemanduan jentera bomba serta melaksanakan kerja-kerja pengawasan di bilik kawalan dan pemeriksaan premis.
8. Pembantu Pertahanan Awam
Bertanggungjawab mengetuai Pejabat Pertahanan Awam Daerah yang bertanggungjawab ke atas tugas-tugas pentadbiran/kewangan, pengurusan pasukan dan operasi bencana di daerah berkenaan.
9. Pegawai Penjara
Bertanggungjawab mengawal banduan (orang tahanan/ juvana) melibatkan keselamatan fizikal dan pengurusan termasuk tugas-tugas pemulihan dan kawalan semasa banduan menjalani rawatan di hospital atau menghadiri perbicaraan di mahkamah.
10. Pegawai Imigresen
Bertanggungjawab menjalankan tugas mengeluarkan pasport dan dokumen perjalanan, mengeluarkan visa, pas dan permit, mengawal selia pergerakan keluar masuk di pintu-pintu masuk yang diwartakan serta memberi perkhidmatan sokongan yang berkualiti dan efisien kepada pelanggan jabatan untuk memantapkan lagi pengurusan organisasi serta meningkatkan mutu perkhidmatan imigresen bagi memenuhi aspirasi rakyat dan negara.
11. Pembantu Keselamatan
Bertanggungjawab melaksanakan tugas kawalan keselamatan aset kerajaan melibatkan keselamatan fizikal, dokumen dan personel di bangunan dan premis kerajaan termasuk kawasan-kawasan yang diisytiharkan sebagai Kawasan Larangan dan Tempat Larangan di bawah Akta Kawasan Larangan dan Tempat Larangan 1959 (Akta 298).
12. Pembantu Pendaftaran
Bertanggungjawab dalam aktiviti memastikan perkhidmatan operasi mencapai standard dan prosedur yang ditetapkan berdasarkan Akta Pendaftaran Kelahiran dan Kematian 1957 (Akta 299), Registration of Births and Deaths Ordinance 1951 (Sabah Cap, 123), Registration of Births and Deaths Ordinance 1951 (Sarawak Cap, 123), Akta Pendaftaran Kelahiran dan Kematian (Peruntukan-peruntukan Khas) 1975 (Akta 1952), Akta Pendaftaran Pengangkutan 1952 (Akta 253) dan Adaption Ordinance 1941 (Sarawak Cap. 91), Akta Pendaftaran Negara 1959 (Akta 78) dan Peraturan-peraturan Pendaftaran Negara 1990 (Pindaan 2001), Perlembagaan Persekutuan, Bahagian III (Kewarganegaraan) dan Akta Membaharui Undang-undang (Perkahwinan dan Perceraian) 1976 (Akta 164).
13. Pengawal Keselamatan
Bertanggungjawab melaksanakan tugas kawalan keselamatan aset kerajaan melibatkan keselamatan fizikal, dokumen dan personel di bangunan dan premis kerajaan termasuk kawasan-kawasan yang diisytiharkan sebagai Kawasan Larangan dan Tempat Larangan di bawah Akta Kawasan Larangan dan Tempat Larangan 1959 (Akta 298).
14. Penolong Pegawai Penguat Kuasa
-
15. Pembantu Penguat Kuasa
-
16. Penguasa Bomba
Bertanggungjawab dalam melaksanakan tugas-tugas pengurusan am, pentadbiran, pemantauan dan mengawal selia aktiviti-aktiviti yang melibatkan aspek operasi, penguatkuasaan, pencegahan dan keselamatan kebakaran, merangka dan menjalankan program latihan, menguruskan penyelidikan, perancangan dan pembangunan.
17. Penguasa Penjara
Bertanggungjawab melaksanakan tugas pengurusan am, pentadbiran, kewangan, penyelidikan, perancangan, pembangunan, latihan dan keselamatan institusi-institusi penjara.
18. Pegawai Keselamatan
Bertanggungjawab memberi khidmat nasihat, memantau dan menguatkuasakan undang-undang, peraturan serta arahan mengenai keselamatan perlindungan kepada agensi kerajaan dan sasaran penting serta kawasan larangan dan tempat larangan termasuk sektor swasta yang berkaitan untuk mengekal dan mempertingkatkan tahap keselamatan fizikal, dokumen, peribadi, keselamatan perlindungan ICT dengan tujuan melindungi aset dan rahsia rasmi daripada pelbagai bentuk ancaman keselamatan.
19. Pegawai Pertahanan Awam
Bertanggungjawab mengurus hal ehwal pentadbiran dan pengurusan di peringkat negeri termasuk mengurus Latihan Gerakan Pertahanan Awam.
20. Pegawai Penguat Kuasa
-