LAGENDA 69 KOMANDO: ASP MOHD ZABRI ABD HAMID

LAGENDA 69 KOMANDO: ASP MOHD ZABRI ABD HAMID


ASP Mohd Zabri Abd Hamid adalah contoh individu yang melambangkan semangat warisan darah perwira yang dijulang oleh para pegawai dan anggota 69 Komando.

ASP Zabri berasal dari Tapah, Perak dan mula menyertai Polis Diraja Malaysia (PDRM) pada tahun 1963. Beliau menyertai 69 Komando pada tahun 1970 dan dilantik sebagai Ketua Jurulatih pasukan elit berkenaan pada tahun 1971. Beliau pernah ditugaskan untuk mengetuai 69 Komando dalam operasi bersama Komando Strategis Angkatan Darat (KOSTRAD), negara Indonesia bagi menggempur kubu pasukan gerila komunis yang terletak di kawasan sempadan Sarawak dan Kalimantan, Indonesia.

Dalam operasi tersebut, beliau telah membuktikan kemampuannya sebagai seorang pemimpin dan juga pejuang barisan hadapan yang tidak gentar memikul senjata untuk menghadapi ancaman peluru musuh. Perkara ini dibuktikan apabila beliau berjaya membunuh beberapa gerila komunis dalam operasi bersama KOSTRAD. Patrol ASP Zabri juga merupakan partrol 69 Komando pertama yang berjaya membunuh pengganas komunis ketika Darurat Kedua di Lasah, Sungai Siput, Perak.

Operasi terakhir ASP Zabri ialah di kawasan Gerik, Perak pada 4 September 1975 di mana unit patrol yang diketuai beliau telah melancarkan gerakan memburu segerombolan pengganas komunis yang telah membunuh empat anggota polis. Susulan daripada serangan tersebut, pasukan polis telah berjaya menawan sebuah kem Malaya National Liberation Army (MNLA) dan merampas pelbagai jenis senjata, bahan letupan serta bekalan logistik. Walau bagaimanapun, ASP Zabri telah terpijak jerangkap samar yang mengakibatkan kecederaan parah di bahagian kaki beliau sekaligus meragut nyawanya.

Antara kata-kata terakhir beliau yang kemudiannya menjadi azimat kepada anggota-anggota 69 Komando untuk menghapuskan gerila MNLA adalah "Teruskan Perjuanganmu. Hancurkan petualang negara, buru dan hancurkan mereka. Biarpun diriku tiada lagi!,".

Hari ini di kawasan Banding, daerah Gerik, Perak, sebuah kem latihan 69 Komando telah dinamakan Kem Zabri sebagai mengenang jasa dan perjuangan beliau kepada agama, bangsa dan negara.

"Polis dan Masyarakat Berpisah Tiada"


Sumber :
https://www.facebook.com/161086313901684/posts/2695903183753305/

Post a Comment

Previous Post Next Post