ASP ARNIDA CIPTA SEJARAH BERUCAP DI PERSIDANGAN AGUNG INTERPOL
Chile, 16 Oktober 2019 - Polis Diraja Malaysia (PDRM) hari ini mencatat sejarah khasnya buat negara apabila ASP Bit/Pelancong, ASP Arba'ahtul Arnida Adam dari Jabatan Pencegahan Jenayah dan Keselamatan Komuniti (JPJKK), Ibu Pejabat Polis Kontinjen Johor, diberi penghormatan membuat pembentangan di Perhimpunan Agung Polis Antarabangsa (INTERPOL) yang berlangsung di Santiago, di sini.
Pegawai polis wanita berusia 36 tahun berkenaan membentangkan topik bertajuk "What Police Cooperation Doing Wrong" di hadapan delegasi antarabangsa di Pusat Konvensyen Espacio Riesco dan merupakan satu-satunya Pegawai Kanan Polis dari Asia Tenggara yang terpilih untuk bersama enam pegawai polis dari Senegal, Emiriah Arab Bersatu (UAE), India, Australia, Jamaica dan Netherlands.
Timbalan Ketua Polis Negara, DIG Dato' Pahlawan Mazlan Mansor dan Pengarah Jabatan Siasatan Jenayah Narkotik, CP Datuk Mohd Khalil Kader Mohd yang turut hadir dalam perhimpunan tersebut melahirkan rasa teruja dan bangga menyaksikan pembentangan yang disampaikan oleh pegawai muda PDRM itu.
Pemilihan graduan Sarjana Sains Pentadbiran dari Universiti Teknologi MARA (UiTM) berkenaan adalah melalui "Young Global Police Leaders Programme" anjuran INTERPOL yang diadakan di Dubai, UAE, awal September lalu.
Program tersebut antara lainnya bertujuan memberi pendedahan kepada para Pegawai Kanan Polis dari seluruh dunia tentang cabaran dan isu yang dihadapi di peringkat global masa kini.
Bagi pihak seluruh warga PDRM, setinggi-tinggi tahniah dan syabas juga diucapkan kepada ASP Arnida. Anda kebanggaan kami!
Sumber :
https://m.facebook.com/story.php?story_fbid=2735399966470293&id=161086313901684