90 HARI TERAJU PDRM: KPN, TIMBALAN KOMITED PERKASA INTEGRITI

90 HARI TERAJU PDRM: KPN, TIMBALAN BERGANDING PERKASA INTEGRITI KE ARAH KECEMERLANGAN PASUKAN


Kuala Lumpur, 3 Ogos 2019 – Memperkasakan integriti dan akauntabiliti dalam diri setiap warganya menjadi misi utama Ketua Polis Negara, IG Dato' Seri Abdul Hamid Bador dan timbalan, DIG Dato' Pahlawan Mazlan Mansor dalam memacu Polis Diraja Malaysia (PDRM) ke arah institusi kepolisan bertaraf dunia.

Genap 90 hari menerajui PDRM, Dato' Seri Abdul Hamid Bador menggesa agar segenap lapisan pasukan memastikan gerak kerja berada di tahap optimum dan sistem penyampaian perkhidmatan dipertingkatkan agar sentiasa memenuhi ekspektasi dan harapan masyarakat.

"Saya bersama Dato' Pahlawan Mazlan berikrar untuk terus mendukung hasrat kerajaan dalam membaik pulih masalah urus tadbir, integriti dan rasuah dalam semua agensi kerajaan, termasuk PDRM," ucap Dato' Seri Abdul Hamid dalam Majlis Dining-In bagi meraikan kedua-dua pimpinan tertinggi PDRM itu di Hotel Royale Chulan, Kuala Lumpur, malam tadi.

Bertepatan dengan tema, "The Winds of Change", majlis yang berlangsung penuh tradisi dan istiadat kepolisan tersebut menyaksikan hasrat KPN untuk membawa angin perubahan yang akan mengembalikan semula maruah dan zaman kegemilangan PDRM.

Jelas beliau, sokongan daripada barisan pimpinan kanan PDRM juga sangat penting bagi memastikan visi dan misi pasukan dapat dilaksanakan dengan jayanya.

"Dengan adanya sokongan daripada sayap-sayap kanan yang berkredibiliti dan berkepimpinan tinggi, impian untuk mengembalikan zaman kegemilangan PDRM dan meletakkan ia pada kedudukan yang sewajarnya di mata dan hati masyarakat, akan terlaksana," ucap beliau dalam majlis tersebut.

Mengakhiri ucapan, Dato' Seri Abdul Hamid menggesa seluruh warga PDRM sentiasa menetapkan nawaitu untuk bertugas demi agama, bangsa dan negara kerana setiap satu usaha yang dizahirkan di jalan yang benar pasti akan beroleh ganjaran yang setimpal daripada Allah SWT.

Turut hadir, Ketua Urus Setia KPN merangkap Naib Yang Dipertua Mes Pegawai Kanan PDRM, DCP Dato’ Ramli Mohamed Yoosuf dan isteri, barisan Pengarah, Timbalan Pengarah serta pegawai kanan PDRM.

Sumber :
https://m.facebook.com/story.php?story_fbid=2593886663954958&id=161086313901684

Post a Comment

Previous Post Next Post